Anda di sini

Bomba bersedia

Advertisement

Oleh Nick Fletcher dan Reno Benjamin//

 

 Nor Hisham

Persiapan penuh telah dibuat dari semua aspek untuk hadapi kemungkinan banjir: Nor Hisham

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kini pada tahap berjaga-jaga sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan banjir.

Justeru, Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata persiapan penuh telah dilakukan dari semua aspek khususnya anggota dan utiliti.

“Seramai 1,100 anggota bersedia untuk dikerahkan bagi operasi menyelamat di seluruh negeri selain 52 bot, lima kenderaan pacuan empat roda, lapan lori serta unit udara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Menurut Nor Hisham, pihaknya juga telah menerima maklumat bahawa amaran paras air sungai di kawasan barat Sarawak iaitu dari Kuching sehingga ke Sibu adalah pada tahap jingga.

“Hujan lebat dijangka sehingga 18 Disember (hari ini) tetapi paras air di sungai masih pada paras normal.

“Maka itu, dijangka tidak akan ada banjir berlaku tetapi kami tetap berjaga-jaga sepenuhnya agar dapat bertindak awal jika berlaku banjir atau sebarang bencana,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan bot ekspres dan feri beroperasi bagi laluan pesisiran pantai mungkin dihentikan sementara jika berlaku angin kencang dan laut bergelora.

Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Murni Suhaili memberitahu, pihaknya kini memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa berikutan amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia baru -baru ini.

“Sekiranya keadaan angin kencang dan laut bergelora, kami akan mengarahkan operasi bot ini dihenti sementara waktu atas sebab keselamatan.

“Ini termasuk bagi laluan pesisir pantai dari Tanjung Manis ke Kuching termasuk Limbang ke Labuan,” ujarnya ketika dihubungi, kelmarin.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua, berbahaya kepada bot ekspres, feri dan juga kapal nelayan pesisir pantai.

Mengikut amaran dikeluarkan, angin timur laut diramal bertiup antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter di perairan Sabah dan Labuan sehingga Ahad ini.

Menurut Murni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, LSS turut memantau keadaan ombak di kawasan pesisir pantai.

“Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami dan pelbagai langkah telah diambil bagi menjaga keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.

Bagi laluan Kuching ke Tanjung Manis seterusnya ke Sibu, dua bot ekspres beroperasi setiap hari dapat membawa antara 168 hingga 208 penumpang bagi setiap perjalanan.

Sementara bagi laluan Limbang ke Labuan, tiga bot beroperasi setiap hari yang membawa 99 hingga 120 penumpang.

 

Advertisement