Anda di sini

Harga rumah dijangka masih naik walaupun pada kadar lebih rendah

Advertisement

KUCHING: Campur tangan kerajaan persekutuan pada tahun ini dengan memperkenalkan langkah-langkah baharu terutama mengenai garis panduan pemberian pinjaman telah menyebabkan sentimen spekulasi yang membawa kedua-dua pemaju dan pelabur kembali kepada asas.

Sehubungan itu, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata harga unit perumahan di kawasan utama kekal tinggi iaitu menjangkau lingkungan RM500,000 bagi unit teres dua tingkat dan lebih RM1 juta bagi unit berkembar.

“Bagi 2015, ia telah menyaksikan senario dalam jumlah jualan yang perlahan disebabkan kos lanjutan dan inflasi harga, diburukkan lagi oleh pelaksanaan GST.

“Oleh itu, harga rumah dijangka masih naik walaupun pada kadar yang lebih rendah,” katanya menerusi ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata cabaran perumahan mampu milik juga menjadi teruk terutama di pusat bandar.

“Purata harga rumah di Sarawak telah meningkat dengan ketara manakala pendapatan isi rumah tidak berkembang pada kadar yang sama menyebabkan ia menjadi tekanan kepada masyarakat kita,” katanya.

Justeru bagi menghadapi perubahan sosioekonomi serta demografik dan pada masa sama menangani isu perumahan mampu milik selain merapatkan jurang permintaan dan bekalan perumahan, Abang Johari berkata kementeriannya telah mencadangkan kepada Lembaga Perancang Negeri (SPA) mengenai pelaksanaan Garis Panduan dan Dasar Perumahan Mampu Milik baharu.

“Dasar baharu ini akan melibatkan pendekatan negeri terhadap penyediaan rumah mampu milik selain mengubah reka bentuk yang lebih baik, keperluan perancangan dan memaksimumkan harga jualan unit perumahan kos rendah dan mampu milik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya juga sedang menjalankan Kajian Pembangunan Perumahan Negeri yang akan menghasilkan pelan induk bagi pembangunan jangka panjang sektor perumahan negeri sehingga 2035.

“Kajian ini antara lain akan meramal bekalan jangka panjang bagi rumah-rumah yang perlu disediakan oleh bandar utama dan bandar di seluruh Sarawak dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti pertumbuhan ekonomi, penghijrahan bandar dan pertambahan penduduk.

“Kajian itu dijangka siap pada akhir tahun ini dan dengan selesainya kajian, kerajaan negeri akan dapat merancang lebih awal dan memperuntukkan sumber yang diperlukan dalam memenuhi keperluan perumahan rakyat Sarawak pada masa depan,” katanya.

 

Advertisement