Anda di sini

Paus terdampar

Advertisement
 Orang ramai menyaksikan dengan lebih dekat ikan yang ditemui mati di pantai Tanjung Batu pagi semalam.

TERTARIK: Orang ramai menyaksikan dengan lebih dekat ikan yang ditemui mati di pantai Tanjung Batu pagi semalam.

 Spesies ikan dikenal pasti oleh pihak SFC sebagai Beaked Whale.

KENAL PASTI: Spesies ikan dikenal pasti oleh pihak SFC sebagai Beaked Whale.

Spesies Beaked Whale gemparkan orang ramai, usaha menyelamat tidak berjaya.

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Seekor ikan paus daripada spesies Beaked Whale ditemui terdampar tidak bernyawa di kawasan pantai Tanjung Batu pagi semalam meskipun sebelum itu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu berusaha menyelamat dan melepasnya semula ke laut.

Kehadiran spesies ikan jarang dilihat walaupun dalam keadaan tidak bernyawa menggemparkan orang ramai sehingga mereka berpusu-pusu ke pantai Tanjung Batu untuk melihat lebih dekat termasuk merakam gambar kenangan serta berselfie dengan mamalia laut terbabit.

Jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC) menjelaskan spesies ikan terbabit seakan-akan ikan lumba-lumba namun ia merupakan spesies dikenali sebagai Beaked Whale.

“Bangkai ikan itu akan dihantar ke Taman Negara Similajau untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sebelum bangkai ditanam termasuk tulangnya diambil untuk disimpan memandangkan spesies itu jarang ditemui,” katanya semalam.

 Kakitangan Taman Tumbina Bintulu dengan dibantu orang awam mengukur spesies ikan yang ditemui terdampar mati di pantai Tanjung Batu semalam.

BANTU: Kakitangan Taman Tumbina Bintulu dengan dibantu orang awam mengukur spesies ikan yang ditemui terdampar mati di pantai Tanjung Batu semalam.

Manakala info Wikipedia menjelaskan Beaked Whale atau paus berparuh adalah anggota keluarga Ziphiidae terdiri daripada 22 spesies.

Paus bergigi ini terkenal  paruh memanjang dan merupakan haiwan bernafas serta penyelam paling ekstrem.

Paus ini mampu menyelam selama satu jam pada kedalaman  1,000 meter (3,300 kaki) dan terpanjang dan terdalam dengan mencari makan serta menyelam selama 137.5 minit dan 2,992 meter (9,816 kaki).

Malah ia diiktiraf sebagai penyelam terbaik dalam kalangan mamalia laut.

Paus berparuh salah satu kelompok mamalia dikenali sebagai habitat hidup di laut dalam dan mempunyai kebiasaan misteri.

Mengulas mengenai kedatangan misterinya, Pengurus Kebersihan Alam Sekitar Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohamed Ansari Mohd Syed Ahmad semasa ditemui berkata, sebelum ini usaha dilakukan  anggota bomba menyelamat dan melepas paus ini kembali ke perairan laut.

“Tidak dapat dipasti bila paus ini kembali ke pantai dan pagi ini (semalam) ditemui mati terdampar di sini,” katanya.

Ansari menjelaskan, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan punca kematian spesies mamalia ini kerana ketiadaan pakar.

Katanya, BDA akan mendapatkan khidmat SFC untuk mengurusnya kerana tidak mahu ikan ini mereput di tepi pantai dan menjadi busuk.

“Kami tidak pasti dari mana ia datang memandangkan perairan laut  luas menghadap Laut China Selatan,” katanya.

Ansari menambah, kejadian sama pernah berlaku di Kuala Setiam dan di Miri apabila ikan lumba-lumba bersaiz kecil tidak diketahui spesiesnya terdampar di pantai berkenaan namun dapat diselamat serta dilepas semula ke perairan.

Jelasnya, bagaimananpun pihaknya berasa sedih kerana spesies hidupan liar terlindung jarang ditemui di bawah Ordinan Hidupan Liar Terlindung itu mati.

“Keadaan ini sangat luar biasa dan spesies ini jarang ditemui sebab itu ramai orang datang merakam gambar,” katanya.

Dalam pada itu, Ismawi Mohamad, 41, berkata, beliau terkejut melihat spesies ikan  jarang ditemui terdampar di pantai Tanjung Batu.

“Sebagai penduduk jati Bintulu, ini pertama kali saya melihat spesies ikan seumpamanya. Sebelum ini saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini.

“Mungkin ada hikmahnya dan saya mengetahui berita ini melalui Facebook Bintulu Info, “katanya semasa ditemui semalam.

Sukarelawan Projek Biodiversiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan (BEACON) Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) yang enggan nama disiarkan berkata, di perairan laut Bintulu terdapat banyak spesies ikan lumba-lumba mencecah lebih 100 ekor mencari makan dan bermain-main.

“Selalunya ikan lumba-lumba bermain dan berenang di depan bot (bow riding) semasa kami membuat tinjauan di pelantar minyak di sini. Antara spesies ditemui adalah Dwarf dan Spotted Dolphin,” katanya sambil menambah projek itu melibatkan kerjasama SFC.

Sementara itu, pengurusan Taman Tumbina Bintulu BDA melakukan kerja mengukur mamalia laut itu semalam dengan hasilnya ukur lilit kepala ikan itu adalah 54 inci, panjangnya 15 kaki setengah dan diameter (ukur lilitnya) badannya 80 inci tetapi beratnya tidak diketahui.

 

Advertisement