Anda di sini

Uptown Samarahan bakal punyai tapak tetap sendiri

Advertisement

Lokasi sesuai penting untuk usahawan, pengunjung

// Oleh Rusnan Mustafa //

KOTA SAMARAHAN: Uptown Samarahan bakal mempunyai tapak tetap sendiri bagi menyediakan ruang perniagaan yang selesa kepada usahawan tempatan serta pengunjung dan penduduk di sekitarnya.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyediaan tapak tetap yang sesuai perlu memandangkan Uptown Samarahan dilihat berpotensi menjadi lokasi tumpuan ramai yang pastinya akan menimbulkan masalah kesesakan jalan raya dan ketidakselesaan kepada pengunjung dan penduduk di sekitar kawasan sekiranya operasi dijalankan di tempat parkir seperti sekarang.

“Kita masih lagi mencari lokasi yang sesuai untuk dijadikan tapak tetap Uptown Samarahan ini kerana kita tidak mahu apa yang terjadi di Uptown Kuching terjadi di sini.

“Dengan adanya tapak tetap ini nanti usahawan tempatan akan lebih mudah menjalankan aktiviti mereka, selain memberi ruang yang cukup kepada mereka dan pengunjung tidak perlu berhadapan dengan masalah kesesakan dan ketiadaan tempat letak kereta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Outreach Usahawan Belia Peringkat Bahagian Samarahan di pekarangan Pusat Perniagaan Desa Ilmu, Uptown Samarahan di sini, malam kelmarin.

Abdul Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) berkata, kini dianggarkan sekurang-kurangnya 200 usahawan tempatan menjalankan aktiviti perniagaan mereka di Uptown Samarahan.

Pada masa sama, beliau memberitahu kerajaan akan terus menyokong dan membantu usahawan tempatan memajukan perniagaan mereka.

“Untuk menjadi usahawan bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun kita mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan tidak semestinya kita akan berjaya menjadi seorang usahawan berjaya kerana ia memerlukan pengalaman serta semangat yang tinggi.

“Tanpa pengalaman dan praktikal yang mencukupi seseorang itu pastinya tidak akan berjaya dalam bidang keusahawanan ini,” tegasnya.

Justeru, beliau berharap golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan belajar secara praktikal supaya dapat mengharungi cabaran yang bakal dihadapi nanti.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali Mahmud, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Abd Haris Ishak dan tetamu kehormat lain.

Advertisement