Anda di sini

Penggemar hoki dipelawa sertai pertandingan hoki di IKBN Miri

Advertisement

MIRI: Penggemar sukan hoki dipelawa untuk menyertai Pertandingan Hoki Lima Sebelah yang akan berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri pada 19 dan 20 Disember ini.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran Warrior Hockey Club (WHC) Miri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) di sini.

Ia turut sempena dengan Karnival Transformasi Belia 2015.

Jurucakap penganjur yang juga Jurulatih Hoki Miri Rudy Naziri berkata, antara objektif penganjuran adalah untuk mempromosikan sukan hoki sebagai aktiviti sihat dan bermanfaat dalam kalangan belia.

“Pertandingan ini adalah terbuka kepada warga belia bukan hanya di sekitar Miri, malah luar kawasan Miri, Sabah mahupun negara jiran, Brunei Darussalam.

“Selain mempromosikan aktiviti sihat, program ini turut membantu pemain hoki mengasah bakat mereka dan berkongsi idea, pendapat atau kemahiran hoki,” jelasnya.

Di samping itu, katanya, ia merupakan peluang untuk menambah pengalaman serta meningkatkan keyakinan pemain dalam pertandingan.

Menurut Rudy, pertandingan terbabit hanya terbuka kepada satu kategori sahaja dan pasukan berkenaan boleh mencampurkan ahlinya iaitu lelaki dan wanita dalam satu pasukan.

Hadiah menarik menanti pemenang tempat pertama hingga keempat dengan pasukan juara akan membawa pulang sebuah piala, medal dan wang tunai.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang piala dan medal, manakala tempat keempat akan menerima piala.

Tarikh tutup pendaftaran adalah pada Rabu, 16 Disember dan yuran untuk satu pasukan ialah RM30.

Tambah Rudy, pertandingan dua hari terbabit akan bermula seawal jam 7.30 pagi.

Borang penyertaan boleh diperolehi di pejabat KPS yang terletak di Jalan Brighton di sini pada waktu pejabat.

Mereka yang ingin mengetahui lanjut berhubung pertandingan tersebut, boleh menghubungi Rudy menerusi talian (013-824 7571) atau Hairuzi (013-847 0097).

Advertisement