Anda di sini

Kad anggota ‘Kesultanan Sulu’ mudah dijumpai di Lahad Datu

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa kad keanggotaan ‘Kesultanan Sulu’ memang mudah dijumpai di Lahad Datu.

Ajutan Batalion Ke-14 Pasukan Gerakan Am (PGA) ASP Mohd Afiz Abdullah berkata itu adalah antara sebab beliau tidak segera membuat laporan polis tentang penemuan beberapa dokumen seperti itu di rumah suspek penceroboh yang beliau kenali sebagai Mohamad Ali di Kampung Tanduo.

“Saya sibuk di lapangan ketika itu dan beranggapan dokumen itu kurang penting kerana kad begitu biasa ditemui sebelum ini.

“Selepas penangkapan Mohamad Ali, barulah saya membuat laporan polis mengenai dokumen-dokumen tersebut,” katanya.

Pegawai polis itu memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Beliau berkata demikian apabila diminta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar menjelaskan kenapa beliau hanya membuat laporan polis pada 4 April 2013, hampir sebulan selepas menjumpai dokumen itu di rumah suspek pada 7 Mac 2013.

Mohd Afiz, pegawai perisik dengan Batalion Ke-17 PGA semasa pencerobohan itu berlaku, berkata beliau menjumpai lebih 20 kad keanggotaan seperti itu yang tertera nama beberapa orang, termasuk Mohamad Ali, ketika melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Saya juga jumpa satu surat yang tertulis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan nama Kofi Annan, dan dokumen-dokumen lain yang saya tidak ingat.

“Dokumen-dokumen tersebut dijumpai dalam almari pakaian di bilik tidur tingkat bawah rumah,” katanya.

Mohd Afiz memberitahu mahkamah bahawa ketika melakukan pemeriksaan, beliau dan pasukannya yang terdiri daripada anggota Platun Harimau Batalion Ke-17 PGA, juga menjumpai satu mayat lelaki di dalam kawasan semak berhampiran rumah suspek.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement