Anda di sini

Tiada agama ajak penganut budayakan keganasan dalam kehidupan seharian

Advertisement

KUCHING: Tiada satu pun agama di atas muka bumi ini termasuk Islam, Kristian, Buddha mahupun Hindu yang mengajak penganutnya membudayakan keganasan dalam kehidupan seharian.

Menegaskan perkara itu, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu berkata, individu yang mahu agama yang dianutinya mewajarkan keganasan adalah seseorang yang bukan penganut sebenar, malah juga disifatkan sebagai tidak mencerminkan wajah yang baik mengenai agama mereka.

“Setiap agama saya pasti, membentuk serta mengajar penganutnya untuk mempunyai sikap yang baik, bukan hanya sesama agama, tetapi juga sesama masyarakat berlainan agama.

“Maka, insiden yang berlaku baru-baru ini seperti serangan di Paris, peperangan di Syria, konflik antara Palestin dan Israel selain insiden di mana rakyat negeri kita iaitu Bernard Then yang diculik dan dibunuh di Selatan Filipina tidak sewajarnya berlaku,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucap tama pada Majlis Perasmian Persidangan Kecintaan Keamanan 2015/2016 Ke-9 yang bertemakan ‘Nation Building Through Culture of Heart’ anjuran Jaringan Keamanan Wanita Global (GWPN) di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Tambahnya, keganasan dan peperangan itu hanya akan menjurus kepada perbalahan, perpecahan kaum, kebencian sesama masyarakat, malah apa yang lebih teruk ialah berlaku pembunuhan tanpa belas kasihan lebih-lebih lagi yang melibatkan inidividu yang tidak bersalah.

Seharusnya, setiap anggota masyarakat mengamalkan budaya perpaduan, sayang-menyayangi dan hormatmenghormati sesama masyarakat sekali gus mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan seharian, ujarnya.

“Justeru, ingin saya tegaskan marilah kita berganding bahu mengekalkan perpaduan yang sedia ada di negeri kita, khasnya dan Malaysia amnya bagi menjamin kehidupan yang sejahtera,” katanya sambil menambah, penganjuran persidangan seumpama itu amat bertepatan dianjurkan bagi mendedahkan kepada masyarakat mengenai kepentingan perpaduan dalam bermasyarakat.

Tambahnya, institusi kekeluargaan juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai perpaduan sekali gus mengukuhkan asas itu untuk diamalkan dalam kehidupan.

Sementara itu, Penasihat Kanan Antarabangsa GWPN Dr Yoo Chong Young berkata, duta keamanan di Malaysia perlu bekerjasama untuk membawa keamanan dan budaya keluarga sebenar sekali gus menjadi model keamanan di seluruh dunia ini.

“Malaysia mempunyai latar belakang masyarakat yang pelbagai termasuk pelbagai bangsa, pelbagai agama dan pelbagai bahasa.

“Saya juga percaya Kuching ini sendiri bakal mencetuskan ‘Volkano Perpaduan’ untuk Malaysia sekali gus menjadi ikutan negara-negara lain di seluruh dunia,” katanya.

Persidangan Kecintaan Keamanan 2015/2016 Ke-9 itu disertai ratusan peserta wanita yang berpeluang mendengar perbincangan yang bertajuk ‘Menyuntik Budaya Hati Menerusi Perkahwinan dan Keluarga’ yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Perlembagaan Keamanan Sejagat Malaysia Sudesh Balasubramaniam dan ‘Peranan Wanita Dalam Membina Keamanan’ yang disampaikan oleh Presiden Perlembagaan Keamanan Dunia Wanita Malaysia Profesor Emeritus Datin Dr Rahmah Bujang.

Turut hadir Presiden GWPN Senator Datuk Doris Sophia Brodie.

Advertisement