Anda di sini

Jalan tanah merah berlubang sana sini

Advertisement

Penduduk gesa PBT perbaiki jalan menuju ke simpang rumah panjang di Sungai Dabai

Oleh W. Bolly Ongie //

MARUDI: Penduduk di Rumah Gudang, kira-kira 12 kilometer dari pekan ini menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memperbaiki jalan raya menuju ke simpang rumah panjang itu di Sungai Dabai, dekat sini.

Ini kerana, menurut penduduk, sejak beberapa bulan lalu jalan raya itu tidak pernah dibaiki meskipun sudah ada aduan dibuat.

Menurut penduduk, mereka kesal keadaan jalan dibina itu tidak  siap sepenuhnya malah  hanya beberapa kilometer sahaja sudah berturap, bermula dari Jambatan Rumah Gudang (di SK Gudang)  hingga ke pertengahan jalan tersebut.

Manakala bakinya, dari pertengahan jalan hingga ke simpang masuk di Sungai Dabai, masih lagi jalan berbatu dan tanah merah yang berlubang di sana sini.

“Di sesetengah laluan, keadaannya seperti parit kecil. Ini memang tidak selamat dilalui.

“Malah ia turut merosakkan kenderaan disebabkan keadaan jalan teruk,” kata seorang penduduk yang enggan memberitahu namanya.

Rumah Gudang, mempunyai sebuah sekolah rendah harian dengan guru berkhidmat di sekolah tersebut terpaksa berulang alik ke sekolah dari pekan Marudi, melalui jalan yang berlubang dan rosak.

“Bukan itu sahaja, malah jalan sudah diturap sudah mulai mengalami kerosakan akibat dilalui lori membawa lebih muatan.

“Sebelum keadaan menjadi lebih teruk kita meminta pihak berkaitan memperbaiki jalan tersebut segera.

“Lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan ini kerana ramai balik ke kampung halaman masing-masing,” jelasnya.

Advertisement