Anda di sini

Dua warga asing dicekup milik dan guna dadah

Advertisement

KENINGAU: Polis Keningau berjaya menangkap dua warga asing masing-masing dari Indonesia dan Filipina kerana disyaki memiliki dan penagih dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sinar Harapan di Sook.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintenden Polis (DSP) Douglas Nyeging Taong berkata, suspek warga Indonesia yang berumur 35 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditangkap kira-kira jam 10.50 malam pada 24 November di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

“Apabila tiba di hadapan rumah berkenaan katanya, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan suspek telah menyerahkan satu bekas besi yang berwarna hitam bertulisan ‘Tycoon’ yang diambil dari poket sebelah kanan seluar yang dipakai suspek,” katanya pada sidang media di IPD Keningau, di sini pada Jumaat.

“Hasil pemeriksaan terdapat tujuh peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.10 gram yang dianggar dengan harga pasaran RM800, “ katanya.

Katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) ( a ) Akta yang sama kerana ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Sementara itu katanya, suspek warga Filipina ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung yang sama kira-kira jam 11 malam.

Katanya, semasa ditahan suspek telah menyerahkan satu objek yang dikeluarkan dari poket sebelah kanan seluar yang dipakai suspek.

“Apabila diperiksa ia merupakan satu peket plastik lutsinar seberat 5.05 gram dengan anggaran nilai pasaran RM700,” katanya.

Suspek yang berumur 34 tahun itu ditahan di bawah seksyen dan akta yang sama kerana turut disyaki memiliki dan menagih dadah.

Douglas memberitahu, kedua-dua suspek boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali sebatan jika didapati bersalah.

Advertisement