Anda di sini

Musim durian umpama lubuk emas peniaga

Advertisement

// Oleh Kepu Sidi //

 Buah durian Sarikei yang terkenal dengan keenakannya.

RAJA BUAH: Buah durian Sarikei yang terkenal dengan keenakannya.

TIBANYA musim buah-buahan adalah satu rahmat bagi sesetengah pihak khususnya penjaja buahbuahan.

Musim yang ditunggu peniaga buahbuahan dan juga penggemar buah-buahan tempatan melepaskan ‘gian’ menikmati buah-buahan yang disukai.

Kebanjiran buah-buahan tempatan ini merupakan lubuk emas untuk mereka mencari rezeki lebih terutamanya musim buah durian.

Peniaga buah-buahan, Ali, 55, berkata musim raja buah umpama lubuk emas bagi peniaga kecilkecilan malah pemilik dusun durian turut meraih pendapatan lumayan.

“Ini kerana pada masa kini harga durian mampu dijual pada kadar RM5 hingga RM20 sebiji berdasar saiz dan kualiti buah,” katanya kepada pemberita ketika sedang menggredkan saiz durian yang baru dihantar pembekal di Sarikei, baru-baru ini.

Jelas Ali, sejak menjual buah itu minggu lepas ramai pelanggannya berpuas hati kerana keenakan buahnya.

“Kebanyakan buah saya jual dari kawasan terdekat seperti Sungai Rusa, Bayong, Ulu Sarikei dan beberapa tempat lain sudah terkenal dengan keenakannya,” kata Ali.

Tambah Ali, pada ketika ini pembeli luar gemar berkunjung ke Sarikei dan membeli durian dari kawasan terbabit.

Jelasnya, kebanyakan pelanggan berpendapat durian dijual di bandar ini jauh lebih murah berbanding tempat lain.

“Kebanyakan tempat lain, peniaganya mengguna sistem timbang kilo menjualnya.

“Bagaimanapun, kami peniaga di sini masih menjualnya sebiji mengikut selera pembeli atau ditompok dalam kuantiti tiga hingga lapan biji setompok dan dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM20.

“Pekerjaan ini merupakan pekerjaan bermusim bagi saya. Saya turut tidak ketinggalan dan berkesempatan menjual kerana pendapatan menjual buah durian ini agak lumayan hasilnya,” katanya.

Menurut Ali lagi, dalam mengurus perniagaan durian itu, beliau turut dibantu oleh anak-anaknya.

Dan perniagaan tersebut katanya menyebabkan mereka bersekang mata siang dan malam menguruskan perniagaan bagi merebut dan memanfaat peluang yang ada.

Dalam tinjauan sama juga, pemberita mendapati di lokasi menjual buah-buahan bermusim terletak berhampiran Terminal 2 Sarikei, turut menjual buah-buahan lain seperti dabai, manggis, rambutan, pisang, jambu, langsat serta beberapa jenis buah lain.

Sementara itu, seorang lagi peniaga buah-buahan yang dikenali sebagai Ah Aing berkata, kemuncak dan kebanjiran buahbuahan di sini dijangka berlaku sekitar awal bulan Disember ini.

“Kebanyakan dusun buah-buahan penduduk di sekitar kawasan Sarikei ini akan menghasilkan produk mereka pada tempoh tersebut.

“Pada tempoh ini nanti, kita yakin harga buah-buahan akan menjadi cukup murah, seperti tahun-tahun yang lepas, iaitu mencecah nilai RM1 sebiji bagi durian,” katanya.

Dalam masa sama juga, Ah Aing turut menyifatkan bagi mana-mana pemilik dusun buah-buahan yang telah mengeluarkan hasil mereka pada masa kini adalah bernasib baik, kerana harga buahbuahan masih berada pada nilai agak tinggi.

Advertisement