Anda di sini

Kematian Kevin tiada kaitan 1MDB

Advertisement

Mendiang tidak pernah terlibat dengan siasatan1MDB: Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam mengulangi bahawa mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais tidak terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan menolak dakwaan bahawa pembunuhannya ada kaitan dengan kes itu.

Mohamed Apandi berkata ia adalah tidak munasabah untuk adik mendiang, Charles Suresh Morais untuk mendakwa pembunuhan adiknya itu ada kaitan dengan kes tersebut.

“(Anthony) Kevin tidak pernah terlibat dalam siasatan 1MDB. Malah, apabila beliau ditukarkan semula ke Pejabat Peguam Negara pada awal Julai 2014, masih belum ada laporan berhubung 1MDB.

“Saya ingin menegaskan apabila adiknya (Charles Suresh) mula membayangkan bahawa tertuduh yang didakwa tidak terbabit dalam pembu-nuhan (Anthony) Kevin, beliau dilihat cuba mencampuri perbicaraan belum selesai.

“Juga mengenai dakwaan tidak berasas berhubung bedah siasat mendiang abangnya (Anthony) Kevin,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas dari Nanning, China bagi mengulas dakwaan Charles Suresh terhadap kematian abang sulungnya itu.

Dalam kenyataan pada 7 Sept lepas, Mohamed Apandi telah menafikan sebarang penglibatan Anthony Kevin dalam siasatan 1MDB.

Beliau menjelaskan kes-kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih dikendalikan oleh Anthony Kevin semasa dalam portfolionya sekarang adalah untuk kesinambungan pendakwaan.

Dalam sidang media kelmarin, Charles Suresh, iaitu anak kedua daripada empat adik-beradik Morais, mengeluarkan akuan bersumpah (SD) setebal 18 halaman.

Antara lain dalam SD tersebut adalah berkaitan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk menuntut pakar patologi forensik bebas atas pilihan beliau (Charles Suresh) untuk menjalankan bedah siasat kali kedua ke atas mayat Anthony Kevin.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan memanggil Charles Suresh atas dakwaan beliau mempunyai maklumat tertentu berkaitan kes pembunuhan mendiang abangnya.

“Sekiranya beliau benar-benar mempunyai maklumat, ia seharusnya diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan. Tidak mendedahkan maklumat boleh dianggap suatu kesalahan.

“Saya cadangkan beliau (Charles Suresh) berkongsi maklumat dengan polis supaya tindakan boleh diambil. Polis tidak boleh bertindak jika tidak mempunyai maklumat mengenai mendiang (Anthony) Kevin,” Khalid memberitahu Bernama.

Mayat Anthony Kevin, 55, ditemukan di dalam tong dram yang dipenuhi simen di dalam kawasan paya di Jalan Subang 3, Subang Jaya, pada 16 Sept lepas selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept.

Kali terakhir mendiang dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini untuk ke pejabatnya di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya. — Bernama

Advertisement