Anda di sini

Bahasa Inggeris, bahasa Malaysia diguna bersama

Advertisement

Oleh Jessica Jawing//

 

 Adenan berjabat tangan dengan masyarakat yang datang menyambut ketibaan beliau di Dewan Suarah Bau, semalam. Turut kelihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie (dua kanan).

SELAMAT DATANG: Adenan berjabat tangan dengan masyarakat yang datang menyambut ketibaan beliau di Dewan Suarah Bau, semalam. Turut kelihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie (dua kanan).

BAU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tetap dengan pendirian mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan negeri meskipun ia ditentang oleh segelintir pihak dari Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, mereka berhak untuk mempunyai pandangan sedemikian dan beliau menghormati pandangan mereka mengenai perkara berkenaan.

“Kita harus praktikal itu sahaja… kita tidak boleh menafikan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa, jika kita tidak berbuat demikian kita akan tinggal di belakang.

“Apa pun saya menghormati pandangan mereka itu…mereka berhak mempunyai pandangan sedemikian begitu juga saya mempunyai pandangan saya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN dan cek pampasan tanah di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Sebelum ini Bernama dipetik sebagai berkata, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata langkah Kerajaan Sarawak itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Malah Rais berkata perkara itu seharusnya dibahaskan oleh sebuah konsensus dengan teliti sebelum diumumkan oleh Adenan kerana ia turut melibatkan Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun Adenan menegaskan, pengumuman mengenai penggunaan bahasa Inggeris itu tidak melibatkan Perlembagaan.

“Saya tidak menyatakan bahawa bahasa Inggeris akan menggantikan bahasa Malaysia… tidak, kita tidak melakukannya… apa yang saya nyatakan adalah menggunakan bahasa Inggeris bersama bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya Adenan berkata, pengumuman penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi di negeri ini merupakan salah satu daripada keputusan yang dibuat beliau dalam tempoh hampir dua tahun mentadbir negeri.

Katanya keputusan itu dibuat menyedari bahawa bahasa Inggeris amat penting sebagai bahasa komunikasi sejagat khasnya dalam perdagangan, komersial dan sebagainya.

“Saya merasakan rakyat (Sarawak) khasnya gembira dengan perkara ini dan saya tidak peduli apa yang dinyatakan mereka dari Semenanjung,” katanya.

 

Advertisement