Anda di sini

MKM anjur Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi

Advertisement

SRI AMAN: Maktab Koperasi Malaysia (MKM) Cawangan Sarawak menganjurkan Kursus Wajib 1 (Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi) selama dua hari yang berakhir di sebuah hotel di sini, semalam.

Pensyarah MKM Mohammad Suandi Mortadza berkata, kursus yang bermula sejak 17 November lalu itu melibatkan penyertaan seramai 19 peserta daripada enam koperasi di kawasan Sri Aman, Betong dan Kuching.

“Penganjuran kursus ini selaras dengan usaha kami memperkasa modal insan koperasi dalam kalangan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) di negeri ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurutnya, menerusi kursus itu semua ALK diberi pendedahan mengenai langkah tadbir urus yang berkesan di samping mempertingkatkan kefahaman mengenai konsep berkoperasi dalam kalangan mereka.

Jelasnya, kursus seperti itu akan dapat memantapkan pengurusan koperasi dalam kalangan ALK seterusnya memacu pembangunan koperasi ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

“Kami berharap peserta dapat berkongsi pengetahuan mengenai langkah tadbir urus berkesan dan konsep berkoperasi dalam kalangan ALK lain dari semasa ke semasa,” katanya.

Suandi turut menambah bahawa kursus yang sama akan diadakan di Kuching (23 hingga 24 November), Betong (1-2 Disember) dan Kuching (7-8 Disember Edisi bahasa Mandarin) pada tahun ini.

Sementara itu anggota koperasi yang berminat menyertai Kursus Wajib 1 (Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi) pada tarikh tersebut boleh menghubungi pihak MKM di talian 082-230409 bagi tujuan pertanyaan lanjut.

Advertisement