Anda di sini

Kerajaan BN sentiasa membangunkan rakyat: Harden

Advertisement

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata politik kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah membangunkan rakyat bukannya menghancurkan rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerajaan BN melaksanakan polisi pembangunan yang dapat membawa keuntungan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Polisi kerajaan BN hanya satu sahaja iaitu membangun serta menyalurkan pembangunan kepada rakyat malah mendengar setiap masalah rakyat dan berusaha membantu rakyat menyelesainya.

“Kerajaan BN bukan seperti pembangkang hanya pandai cakap kosong dan menaburkan janji sahaja, tetapi BN sentiasa mengotakan janji-janji kepada rakyat,” katanya pada Program ‘Walkabout’ anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Tinggi Usop, Kampung Tekalong, Jalan Paip, di sini kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, rakyat harus sedar bahawa mereka masih memerlukan pembangunan seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya.

Katanya semua pembangunan yang rakyat kecapi hari ini adalah daripada kerajaan BN bukannya pembangkang.

“Pembangkang hanya mampu menabur janji kosong mereka untuk meraih simpati daripada rakyat,” jelasnya.

Tambahnya, pembangkang hanya timbul dalam suasana pilihan raya sahaja tetapi apabila tiada pilihan raya mereka hanya diam dan menyepi diri.

Harden berkata sekiranya betul-betul ingin bekerja untuk rakyat kenapa apabila tidak berlakunya pilihan raya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“BN harus dijadikan contoh sebagai kerajaan terbaik kerana sentiasa bekerja untuk rakyat setiap masa,” katanya.

Turut hadir Penyelia Kanan KEMAS Sri Aman Fatimah Tahir, Pembantu Pembangunan Masyarakat KEMAS Sri Aman Kelvin Lambai, Ketua Pergerakan Wanita SUPP Simanggang Ling Siew Hung dan Penasihat Ketua Pemuda SUPP Simanggang Patrick Michael Dian.

Harden turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Tinggi untuk tujuan menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement