Anda di sini

Bersedia ke arah konsep bekerja dari rumah

Advertisement

Semakin ramai guna teknologi sebagai penyampai perkhidmatan atau sistem penyampaian

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu bersedia ke arah konsep bekerja dari rumah selaras dengan perkembangan teknologi masa kini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata, bekerja dari rumah merupakan satu manfaat bagi generasi baharu, yang memberi keutamaan ke atas gaji yang lebih tinggi kerana keinginan untuk mengintegrasikan kerja dan kehidupan peribadi mereka.

“Kita kena bersedia ke arah itu sebab kalau di luar negara contohnya di Amerika Syarikat, kebanyakan sudah pun beralih ke sistem ‘online’ tetapi di Malaysia ini, kita belum begitu banyak sistem ‘online’, kita masih membina ke arah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program INTAN Digital Exploration 2015 (IDeX2015), di sini semalam.

IDeX 2015 yang bertemakan ‘The Future is Now’ menyediakan platform kepada sektor awam dan swata dalam berkongsi idea dan pengalaman bagi menjajarkan hala tuju teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara bagi menyokong agenda transformasi digital kerajaan.

“Generasi pekerja ‘Anywhere Worker’ masa kini menuju ke arah ‘work life integration’ di mana mereka dapat menggabungkan kehidupan peribadi dan profesional.

“Kita harus mengambil peluang ini kerana semua lapisan masyarakat pada masa datang akan menggunakan teknologi sebagai penyampai perkhidmatan ataupun sistem penyampaian.

“Jadi, semuanya akan jadi ada ‘online’ dan kalau kita lihat pada masa kini dan juga pada masa yang akan datang orang akan mula bekerja di rumah dan tidak lagi bekerja di pejabat-pejabat besar,” katanya.

Menurut beliau, dilaporkan pada masa ini sebanyak 30 juta rakyat Amerika Syarikat bekerja dari rumah sekurang-kurangnya sekali setiap minggu yang akan meningkat sebanyak 63 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas tentang kepentingan IDeX, Mohamad Zabidi berkata pendedahan kepada teknologi baharu yang sedang digunakan dan berkembang pesat di dunia harus digunakan sebaik mungkin oleh masyarakat kini.

“Semua penjawat awam dan juga masyarakat umum harus membuka minda mereka berhubung dengan perkembangan teknologi masa kini dan pada masa yang akan datang kerana ini merupakan satu realiti baharu yang mana kita suka atau tidak teknologi akan berkembang,” katanya. — Bernama

Advertisement