Anda di sini

WAJA mampu tingkat kesedaran masyarakat untuk tangani jenayah

Advertisement

KUCHING: Penganjuran program Wanita Anti Jenayah (WAJA) berupaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khusus untuk menangani jenayah.

Pada masa sama, ia juga mampu memberi pengetahuan mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil dari peringkat akar umbi demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sekeliling.

Menjelaskan perkara tersebut, Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPKW) Kawasan Parlimen Petra Jaya merangkap Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg berkata, inisiatif program WAJA juga mampu memberi pengetahuan serta pencerahan melalui sesi ilmiah khususnya mengenai isu keganasan rumah tangga, rogol serta keldai dadah.

“Program WAJA bertujuan memberi pengetahuan serta pencerahan kepada semua lapisan masyarakat serta demonstrasi secara teori dan praktikal mengenai isu keganasan rumah tangga, rogol, keldai dadah dan jenayah lain.

“Di samping itu, masyarakat juga harus berperanan lebih aktif bagi meningkatkan kesedaran menangani jenayah serta langkah pencegahan daripada peringkat akar umbi demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat secara umumnya ,” katanya ketika ditemui pada satu majlis kebajikan kelmarin.

Program WAJA bakal diadakan pada Ahad (22 November) di Dewan Kompleks Islam Baitulmal, di sini bermula jam 8 pagi.

Ia juga merupakan anjuran bersama MPKW Kawasan Petra Jaya serta Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok.

Dayang Madinah yang juga ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Satok memberitahu, program sehari tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Pada masa sama katanya, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Unit Penasihat Undang-Undang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan turut terlibat dalam menjayakan program tersebut.

“Pihak AADK, PDRM dan Unit Penasihat Undang-Undang KPWKM akan turut serta membantu program WAJA termasuk dari segi memberi ceramah, penjelasan serta demonstrasi mempertahankan diri.

“Saya berharap penganjuran program WAJA akan dapat memberi gambaran jelas mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan masyarakat serta memberi sokongan terutama kepada kaum lelaki agar menghargai wanita dan menghentikan keganasan terhadap mereka,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendaftar atau mengetahui lebih lanjut mengenai program WAJA boleh menghubungi Norida Lek di talian 082-233294.

Advertisement