Anda di sini

RELA terap disiplin diri, pasukan

Advertisement

Anggota mampu beri sumbangan positif kepada keselamatan komuniti

// Oleh Kepu Sidi //

 Len bersama dengan anggota RELA yang telah menyertai Kursus Asas RELA Siri 5, di Sarikei, kelmarin.

TAHNIAH: Len bersama dengan anggota RELA yang telah menyertai Kursus Asas RELA Siri 5, di Sarikei, kelmarin.

SARIKEI: Menyertai pasukan Jabatan Sukarelawan (RELA) satu perkara  baik kerana ia mampu mendedahkan anggotanya mengenai disiplin diri, disiplin terhadap pasukan, belajar mematuhi arahan termasuk pelbagai pendedahan lain.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, anggota RELA secara tidak langsung  mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat, bangsa dan negara  khususnya membantu menjaga keselamatan terutama peringkat kampung.

“Masyarakat harus menangkis tangkapan negatif terhadap peranan anggota RELA kerana mereka bukan sahaja terlatih namun cukup profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus Asas RELA Siri 5 di sini, kelmarin.

Katanya, tanggungjawab anggota RELA dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan setempat semakin penting dan terus relevan sejajar dengan perkembangan semasa.

“Kini dengan keanggotaan dan transformasi yang dilakukan kerajaan kepada RELA, jabatan ini amat diperlukan masyarakat khususnya apabila berlaku krisis mahu pun bencana,” katanya.

Program ini telah berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei.

Menurut Len, sikap dan teladan dipamer setiap anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang siap sedia bertugas apabila diperlukan pada bila-bila masa wajar dijadikan satu contoh yang terbaik kepada generasi hari ini.

Katanya, usaha anggota RELA sanggup menyumbang tenaga dan bakti apabila diperlu  tanpa mengira masa dan tempat  dan ia merupakan satu teladan  baik untuk dijadikan contoh ketika menunaikan suatu tanggungjawab diamanahkan.

“Kesetiaan mereka terhadap pakaian seragam dan lafaz janji sebagai seorang anggota RELA, tanpa mengira imbalan yang diberikan kerana bagi mereka, tugasan yang diamanahkan itu dilakukan secara sukarela adalah satu perkara yang amat murni.

“Jika kita lihat bahawa tanggungjawab anggota RELA ini tidak kurangnya sama penting seperti anggota pakaian berseragam yang lain, dimana mereka kebanyakan telah banyak menghulurkan bantuan dan sokongan kepada semua pihak sama ada masyarakat atau pasukan keselamatan amnya.

“Usaha mereka yang berganding bahu dan turun bersama dengan pihak keselamatan dalam menjaga dan mengawal ketenteraman awam bila diperlukan telah banyak membantu dan melancarkan segala masalah yang berlaku,” ujar Len.

Beliau berkata, ketrampilan diri sebagai anggota RELA mesti dijaga bagi membolehkan ahlinya terus dihormati masyarakat.

Katanya, ia bukan sahaja menjadikan RELA lebih dihormati tetapi juga mampu menaik imej mereka sebagai anggota sukarelawan berperanan penting menjaga kedaulatan negara.

“Ketrampilan diri cemerlang melambangkan perasaan bangga anggota terhadap tanggungjawab yang mereka sandang. Mereka telah menjalani latihan malah, pakar dalam bidang masing masing. Justeru, jangan pandang rendah kemampuan RELA,” katanya.

Jelasnya, RELA amat dekat dengan masyarakat dan banyak membawa perubahan dalam komuniti dalam konteks keselamatan dan ketenteraman.

“Malah, RELA telah mendapat tempat di hati masyarakat sebagai pasukan keselamatan yang dianggotai sukarelawan dan sukarelawati yang ikhlas berjuang demi negara serta bangsa,” katanya.

Pada masa sama juga, Len turut berharap agar anggota RELA  yang menyertai kursus  dianjur agar mempraktik segala pengetahuan yang diperolahi dengan sebaiknya, terutama semasa berkhidmat kepada masyarakat.

Turut hadir sama pada majlis ini ialah Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Poniman Margiman, Pegawai JASA Bahagian Sarikei, Ahmat Adai dan SAO, Shanta Douglas.

Advertisement