Anda di sini

ILP laksana pelbagai strategi lahir graduan penuhi kehendak pasaran

Advertisement

MIRI: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri akan melaksanakan pelbagai strategi baharu bagi menjadikan ia sentiasa relevan dalam melahir graduan yang mampu memenuhi pasaran kerja di peringkat tempatan dan global.

Pengerusi Panel Penasihat ILP Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, antara strategi diambil dengan memperkenal beberapa kursus baharu serta menggalak pelajar menjadi seorang yang mahir pelbagai disiplin.

“Sebagai contoh pada tahun depan, ILP Miri akan menaik taraf kursus komputer ke peringkat diploma.

“Setiap tahun kami akan memperkenal beberapa kursus baharu supaya dapat memenuhi permintaan tinggi di peringkat tempatan dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat ILP Miri yang berlangsung di sini petang kelmarin.

Hadir sama pengarah ILP Miri Rosnah Muhamad Tahir serta ahli Panel Penasihat yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Datu August Buma.

Dalam pada itu, Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan turut menekan mengenai kursus tambahan bagi meningkatkan lagi kebolehan para graduan seperti Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Pada masa sama, ILP Miri juga komited dalam menggalak lebih ramai golongan muda di kawasan pedalaman mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di sini terutama kursus-kursus teknikal yang menawarkan pendapatan lumayan kepada para graduan kelak.

“Sehubungan itu, kami akan mengadakan lebih banyak jerayawara di sekolah dan akan menulis surat kepada Yayasan Sarawak sebagai usaha membantu golongan muda dari kawasan pedalaman datang daripada keluarga susah melanjutkan pengajian di sini,” ujarnya.

Menurut Lee, maklum balas terkini diterima hasil jerayawara diadakan mereka mendapati ramai calon yang layak melanjutkan pengajian di ILP Miri termasuk beberapa pelajar kaum Penan dari kawasan pedalaman seperti Long Lamai.

Namun sukar untuk mereka datang ke sini untuk mendaftar kerana kesempitan wang dan kos pengangkutan yang terlalu tinggi.

Sebagai contoh katanya, untuk datang ke ILP Miri dari Long Lamai, seorang pelajar memerlukan RM1,000, satu jumlah yang di luar kemampuan mereka.

Sementara itu menurut Lee, kadar kebolehkerjaan graduan ILP Miri adalah 71 peratus bekerja, 19 peraturan tidak bekerja dan 10 peratus lagi melanjutkan pelajaran.

“Manakala purata gaji graduan ILP Miri adalah seperti 50 peratus mendapat gaji antara RM2,500 hingga RM4,900, 20 peratus (RM1,000-RM2,500), 20 peratus (lebih RM5,000) dan 10 peratus (kurang RM1,000) selepas 12 bulan tamat latihan,” katanya.

Selain itu kata Lee, terdapat beberapa graduan yang bekerja di syarikat multinasional dengan pendapatan bulanan yang lumayaan seperti M. Hadi Izzuddin, seorang tukang pemasangan di Petra Energy (Resources) dengan pendapatan bulanan lebih RM10,000.

Manakala seorang lagi graduan katanya iaitu Al Karim Kawi, seorang tukang kimpal di Green Base Sepadu Energy Sdn Berhad menerima gaji bulanan sebanyak RM18,000.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua ahli lembaga penasihat dan kakitangan institut terbabit yang telah memenangi beberapa pertandingan.

Advertisement