Anda di sini

SK Agama Sibu cipta sejarah, 28 murid dapat semua A

Advertisement
 Dr Annuar (duduk, lima kanan) bersama murid-murid yang mendapat 6A UPSR di Sibu semalam.

TAHNIAH: Dr Annuar (duduk, lima kanan) bersama murid-murid yang mendapat 6A UPSR di Sibu semalam.

SIBU: Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sibu mencipta sejarah apabila seramai 28 muridnya mendapat keputusan cemerlang 6A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

Kejayaan itu menyaksikan sekolah kluster itu mengatasi pencapaian sekolah-sekolah lain di sini.

Guru Besar SK Agama Sibu Sharkawi Hamdan berkata ini adalah atas usaha keras dan murni guru-guru, pihak sekolah dan ibu bapa yang sentiasa memberi semangat kepada murid-murid.

Daripada 116 murid menduduki UPSR di sekolah itu, 28 orang mendapat 6A dan 23 orang mendapat 5A.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee yang hadir sama turut berkongsi kegembiraan kejayaan sekolah itu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya mendapat 6A sekali gus mengharumkan nama sekolah ini.

“Ini merupakan satu permulaan baik bagi murid-murid dan saya berharap dapat dikekalkan keputusan ini dan mendoakan mereka dapat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada seluruh warga SK Agama Sibu terutama guru-guru yang bekerja keras memastikan murid-murid mencapai keputusan cemerlang.

“Satu majlis kesyukuran diadakan di sekolah itu bagi meraikan kejayaan dicapai murid-murid sekolah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Fatin Nur Fatihah Adenan yang mendapat 6A ketika ditemui tidak dapat menahan titisan air mata kerana berasa sangat gembira dengan kejayaan yang dicapainya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang banyak mengajar saya dan tidak lupa juga kepada kedua-dua ibu bapa saya,” kata Fatin sambil memeluk ibunya dengan erat.

Bagi ibu Fatin, Maidah Abdul Razak beliau sangat bersyukur atas kejayaan dicapai anaknya dan percaya semua ini adalah hasil usaha keras guru-guru sekolah berkenaan.

“Walaupun saya ada membantu anak saya dalam pelajarannya, namun tanpa usaha keras guru-guru, sudah pasti anak saya sukar mencapai keputusan cemerlang ini.

“Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada semua guru terutama guru besar,” katanya.

 

 

Advertisement