Anda di sini

Nancy ucap tahniah kepada calon UPSR

Advertisement

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri semalam mengucapkan taniah serta syabas kepada semua calon yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015.

“Tahniah dan syabas kepada semua anak-anak yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR tahun ini.

“Bagi yang tidak mendapat keputusan seperti diharapkan, janganlah berputus asa, sebaliknya teruskan berusaha belajar dan memperbaiki diri kerana peluang untuk berjaya masih ada,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata selain menimba ilmu pengetahuan pelajar harus melengkapkan diri dengan sikap positif dan jati diri agar menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.

Keputusan UPSR 2015 diumumkan serentak di seluruh negara semalam dan Sarawak mencatat pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) terbaik dalam tempoh 13 tahun sejak 2003.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon ketika mengumumkan keputusan bagi Sarawak berkata GPN bagi Sarawak tahun ini (2015) adalah 2.48 berbanding 2.52 pada 2014.

Menurutnya lagi, daripada 41,199 calon menduduki UPSR 2015, 4.85 peratus iaitu 1,998 calon SK dan Sekolah Bantuan Kerajaan berjaya mencatat pencapaian penguasaan cemerlang peringkat ‘A’ bagi semua mata pelajaran berbanding 4.41 peratus (1,862 orang) daripada 42,176 calon pada 2014.

Pada tahun ini juga katanya, terdapat 17 sekolah di seluruh Sarawak berjaya menghasilkan 20 dan ke atas calon memperoleh ‘A’ dalam semua mata pelajaran.

SK (Agama) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching mencatat bilangan calon paling ramai di peringkat ‘A’ dalam semua mata pelajaran diambil iaitu 58 diikuti SK St Teresa (Kuching) 39 calon dan SK St Anne, Sarikei (37).

Bagi pencapaian sekolah luar bandar dan pedalaman, beliau memberitahu 20 daripada 22 sekolah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.50 dan ke bawah (sekolah memperolehi prestasi cemerlang) antaranya SK Bakerkong, Daro (GPS 1.00), SK Sg Kelabit Miri (1.00), SK Taba Sait Padawan (1.16), SK Sg Setulan, Bintulu (1.20), SK Sg Sebatu, Baram (1.25), SK Kpg Kuala Sibuti, Subis (1.30) dan SK Ng Nansang, Song (1.30).

 

Advertisement