Anda di sini

Gred Purata Sekolah UPSR Sibu menurun 0.02 peratus

Advertisement

SIBU: Keputusan Gred Purata Sekolah (GPS) Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat daerah Sibu mencatat penurunan 0.02 peratus.

Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Wong Chong Kung berkata penurunan GPS paling ketara ialah bagi Sekolah Kebangsaan (SK) iaitu daripada 2.48 peratus tahun lalu kepada 2.41 peratus tahun ini dengan penurunan 0.07 peratus.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) merekodkan penurunan GPS sebanyak 0.02 peratus iaitu pada 2.31 berbanding 2.33 peratus tahun lalu.

“Tahun ini, sekolah jenis SK merekodkan peningkatan jumlah murid mendapat A semua mata pelajaran. Bilangan murid mendapat 5A meningkat 38 orang iaitu daripada 88 orang kepada 126 orang.

“Bagaimanapun, SJKC menunjukkan penurunan murid-murid mendapat 7A semua mata pelajaran iaitu daripada 191 murid tahun lalu kepada 163 tahun ini,” katanya.

Bagi daerah Sibu, murid-murid mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat 10 orang iaitu daripada 279 kepada 289 orang.

Secara keseluruhannya, kedua-dua SK dan SJKC kadar lulus adalah 58.53 peratus berbanding 57.58 pada 2014.

Wong memberitahu, bagi sekolah rendah kerajaan, SK Agama Sibu mencatat bilangan pelajar paling ramai memperolehi 5A iaitu 28 orang, diikuti SK Hulu Sungai Merah (11 orang), SK Abang Ali (9), SK Batu 10 (8), dan SK Bandaran No.3, SK Sibu Jaya, SK St Mary masing-masing enam orang.

Bagi sekolah rendah Cina, SJKC Sulai merekod bilangan paling ramai iaitu 21 orang, diikuti SJKC Tung Hua (20), SJKC Methodist (18), SJKC Chung Sing (17), SJKC Tai Kuan (17), SJKC Scared Heart (10) dan SJKC Taman Rajang (10).

Bagi sekolah rendah kerajaan, SK Sungai Siong lapan tahun berturut-turut mencapai 100 peratus lulus semua mata pelajaran dengan kadar GPS terbaik 1.41.

Tiga lagi sekolah mendapat 100 peratus lulus ialah SK Nanga Tutus, SK Lubok Palaie dan SJK Kai Dee.

Sementara itu, bagi sekolah aliran Cina, terdapat enam sekolah mencatat kadar GPS kurang daripada 2.

Sekolah itu ialah SJKC Kai Dee, SJKC Hing Ung, SJKC Tung Kiew SJKC Tung Hua, SJKC Yong Cheng dan SJKC Guong Ming.

Manakala enam sekolah rendah kerajaan mencatat kadar GPS kurang daripada 2.3 ialah SK Sg Siong, SK Agama, SK Sungai Aup, SK Abang Ali, SK Sungai Nibong dan SK St Mary.

 

 

 

Advertisement