Anda di sini

BLGCT acara berprestij

Advertisement

 Christina (dua kiri) menyampaikan replika logo Kejohanan Piala Golf Wanita Borneo 2016 kepada Jamilah sambil disaksikan ahli-ahli jawatankuasa pengelola di Kuching semalam.

BERPRESTIJ: Christina (dua kiri) menyampaikan replika logo Kejohanan Piala Golf Wanita Borneo 2016 kepada Jamilah sambil disaksikan ahli-ahli jawatankuasa pengelola di Kuching semalam.

SANTUBONG: Saingan golf berprestij wanita bagi merebut Piala Kejohanan Golf Wanita Borneo (BLGCT) 2016 edisi ke-18 bakal berlangsung di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini pada 16 hingga 18 Mac tahun depan.

Pengerusi pengelola, Christina Foo berkata BLGCT merupakan acara paling berprestij dan popular kalangan pemain-pemain golf wanita dari wilayah Sarawak, Sabah, Labuan termasuk Brunei.

“Ia adalah acara berpasukan antara wilayah yang berlangsung selama dua hari dan agregat mata bersih diperolehi empat pemain golf terbaik dalam setiap pasukan akan menentukan kedudukan pasukan dalam kejohanan keseluruhan.

“Pada tahun depan (2016), ia merupakan saingan 25 tahun sejak kejohanan ini pertama dianjurkan oleh Sabah pada 1991 dan Kuching diberi penghormatan menganjurkan BLGCT pada 1993 dan 2008,” katanya ditemui di sini semalam.

Terdahulu itu, ahli-ahli jawatankuasa Kejohanan Piala Golf Wanita Borneo Ke-18 2016 (BLGCT) mengadakan kunjungan terhadap isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu di kediamannya di sini semalam.

Kunjungan diketuai Christina bersama Presiden Persatuan Golf Sarawak Hoan Kee Kock itu bertujuan menyampaikan taklimat kepada Jamilah yang juga Penaung BLGCT Ke-18.

Justeru itu, pada 2016 merupakan kali ketiga KGS menganjurkan BLGCT yang turut meraikan Ulang Tahun Perak.

“Sarawak mencatatkan kejayaan dalam dua kejohanan yang dianjurkannya dan juga pada 2013 di Labuan,” katanya.

Christina berharap Sarawak dapat menjulang Piala BLGCT pada tahun depan jika mengambil kira kelebihan bermain di laman sendiri (KGS).

Seramai 136 pemain golf wanita dijangka akan menyertai acara tahunan ini dan daripada jumlah itu kirakira 75 peratus dari luar Sarawak.

Sementara itu, Jamilah yakin BLGCT 2016 dapat menyumbang kepada usaha mempromosikan sukan golf, kegiatan membeli-belah, makanan, kebudayaan dan aspek pelancongan lain yang ditawarkan di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan menyokong sepenuhnya penganjuran acara ini.

Beliau turut merayu kepada sektor swasta agar membantu BLGCT 2016 untuk menjadikannya acara sukan seluruh Borneo yang unggul dan berjaya.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lebih lanjut mengenai kejohanan ini boleh menghubungi Christina selaku pengerusi penganjur di talian 012-8871661.

 

 

Advertisement