Anda di sini

RM4.5 juta realisasi pusat sumber

Advertisement

Peruntukan manfaat sembilan kampung, rumah panjang DUN Nangka

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Kerajaan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta untuk pembinaan pusat sumber di sembilan buah kampung dan rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.

ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata pembinaan setiap pusat sumber menelan kos RM500,000 dilaksanakan bermula Januari depan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun.

Sembilan buah kampung terbabit ialah Kampung Datu, Kampung Datu Baru, Kampung Hilir, Kampung Jeriah, Kampung Seduan, Kampung Nangka, Kampung Hijrah, Kampung Bahagia Jaya dan sebuah rumah panjang dalam DUN Nangka.

“Pusat sumber ini dapat menampung seramai 100 orang pelajar dan dilengkapi dengan kemudahan perpustakaan, tempat beriadah golongan belia dan bilik mesyuarat untuk kegunaan masyarakat setempat,” jelasnya.

Dr Annuar berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Tadika HIKMAH Sibu 2015 di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Jawatankuasa Ibu Bapa Guru (JKIBG) Tadika HIKMAH Sibu, Helmi Junaidi.

Sementara itu, sembilan buah sekolah rendah di DUN Nangka menerima 500 buku berbahasa Inggeris sumbangan Yayasan Asia untuk digunakan pada program ‘I Speak English’ dilaksanakan tahun depan.

Sekolah-sekolah terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, SK Agama, SK St Mary, SK Nanga Bon, SK Ulu Sungai Merah, SK Batu 10, SK Bahagia Jaya, SK Batu 15 dan SK Bandaran No.3.

“DUN Nangka dipilih menerima sumbangan 500 buku berbahasa Inggeris diagihkan oleh Yayasan Asia. Buku-buku itu akan digunakan dalam program ‘I Speak English’.

“Program itu dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris kalangan generasi muda,” katanya sambil menambahkan buku-buku dihantar terus dari Amerika Syarikat ke Sibu.

Advertisement