Anda di sini

Cedera ditetak lima perompak bertopeng

Advertisement
 Low menunggu giliran untuk bertemu pakar di Hospital Umum Sarawak.

TENANG: Low menunggu giliran untuk bertemu pakar di Hospital Umum Sarawak.

LUNDU: Seorang lelaki mengalami luka tetakan pada tangan kirinya selepas bertindak berani melawan lima perompak bertopeng dan bersenjatakan parang awal pagi semalam.

Insiden berlaku di Sematan, dekat sini iaitu sekitar jam 3.30 pagi apabila suspek yang dipercayai warga asing memecah masuk ke rumah keluarga mangsa melalui pintu belakang dan terus menahan bapa serta anak saudara mangsa.

Kelima-lima suspek bersenjatakan parang itu kemudian mengikat tangan dan menutup mulut kedua-dua tahanan mereka itu sebelum mula menggeledah rumah berkenaan.

Insiden tersebut bagaimanapun, disedari mangsa berusia 47 tahun dan hanya dikenali sebagai Low yang kemudian terus mencari senjata di dalam bilik tidurnya untuk bersemuka dengan suspek.

“Low risau akan keadaan bapanya yang berusia 73 tahun dan baharu pulih sakit menyebabkan dia nekad untuk berdepan kelimalima suspek tanpa mempeduli keselamatan dirinya.

“Bagaimanapun, Low dikatakan tidak menemui sebarang senjata dalam biliknya, memaksa dia terus keluar bilik tidurnya itu lalu menyerang kelima-lima suspek,” kata sumber.

Sementara itu, seorang lagi adik kepada Low turut berada di rumah berkenaan kemudian membantunya menyebabkan kelima-lima suspek kemudian beredar dari rumah berkenaan dalam ketakutan.

Low ditemui pemberita semasa menunggu rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) memberitahu dia ditetak di tangan kirinya terdahulu dihantar keluarganya ke Hospital Lundu.

“Saya luka di tangan akibat ditetak seorang suspek. Ia langsung tidak menghalang saya untuk berdepan dengan mereka (suspek) kerana saya amat risau akan keselamatan keluarga.

“Lagipun, bapa saya baharu pulih sakit dan saya risau insiden tersebut akan memberi kesan buruk kepada kesihatannya,” katanya.

Difahamkan suspek hanya berjaya melarikan seunit telefon bimbit, wang tunai serta iPad yang kemudian ditemui semula tidak jauh dari rumah mangsa dipercayai terjatuh ketika suspek tergesa-gesa hendak melarikan diri.

Advertisement