Anda di sini

Tiada banjir besar diramal

Advertisement

Sarawak tetap bersedia hadapi sebarang kemungkinan

// Oleh Patricia Gari //

 Jabu ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak.

PENJELASAN: Jabu ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak.

KUCHING: Sarawak diramal tidak mengalami banjir besar seperti dialami awal tahun ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata berdasar ramalan JMM, negara ketika ini mengalami Monsun Timur Laut menyebabkan hujan turun sepanjang November dalam kuantiti sederhana manakala cuaca pada Disember pula diramal baik.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan JMM, Monsun Timut Laut melanda Malaysia katanya turut memberi kesan kepada Barat Sarawak pada Januari hingga Februari tahun hadapan.

Namun kehadiran fenomena El-Nino pada masa sama dijangka mengurangkan risiko hujan lebat dan banjir besar ekstrem seperti dialami semasa musim tengkujuh tahun lepas.

Keadaan itu juga katanya menyebabkan Sarawak tidak mengalami musim kering teruk sepanjang tempoh tersebut.

“Bagaimanapun kita akan maklumkan ramalan cuaca terkini pada penghujung Disember ini kerana lazimnya ramalan cuaca oleh JMM hanya sah dalam tempoh tiga minggu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang turut dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah.

Jabu juga pengerusi JPBN Sarawak bagaimamapun persiapan menghadapi sebarang kemungkinan banjir tetap dilakukan dengan semua agensi kerajaan negeri dan pusat bersiap sedia dari segi kemudahan serta logistik.

Beliau berkata pusat pemindahan banjir akan ditambah dan diletak di kawasan berisiko tinggi banjir seperti di Long Panai, Tutuh Apoh selain membuka Pangkalan Hadapan iaitu tempat penyimpanan makanan untuk mangsa banjir di sepanjang Sungai Tinjar Miri.

Kawasan itu katanya terletak pada tempat rendah serta jauh daripada logistik.

Sementara itu, Fatimah memberitahu bagi menghadapi banjir kali ini, 610 pusat pemindahan, 164 pembekal akan dilantik dan 25 Pangkalan Hadapan bakal beroperasi di seluruh Sarawak.

“Dari segi kebajikan, kementeri sudah bersiap sedia antaranya mengenal pasti pusat pemindahan, pembekal barangan makanan kering untuk mangsa banjir dan Pangkalan Hadapan di seluruh Sarawak bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Setakat ini 25 Pangkalan Hadapan sudah dikenal pasti antaranya di Long Panai Long Iman di Mulu, Long Igan di Tinjar, Long Loyang, Long Terawan dan Long Bemang (Baram),” ujarnya.

Menurut Fatimah Pangkalan Hadapan diwujudkan di lokasi risiko tinggi banjir yang tiada akses jalan menyebabkan penghantaran bekalan makanan memakan masa.

Beliau memberitahu kerja menyediakan bekalan makanan untuk mangsa banjir di Pangkalan Hadapan di seluruh negeri akan disediakan selewat-lewatnya Disember ini.

Mengulas lanjut mengenai persiapan kementeriannya, Fatimah berkata satu latihan simulasi akan diadakan padda 21 November ini bertempat di pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Batu Kitang Jaya dekat sini.

Program yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang itu katanya akan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Sarawak dan semua agensi terlibat dalam pengurusan bencana negeri Sarawak.

“Program simulasi ini penting sebagai persiapan kita menghadapi banjir kerana ia meliputi latihan penghantaran makanan, pemindahan mangsa banjir dan sebagainya.

“Kita berharap daripada program simulasi ini, kelemahan-kelemahan pengurusan bencana akan dikenal pasti seterusnya diatasi,” jelasnya.

Advertisement