Anda di sini

Rakan anak guna akaun bantuan JKM ibu tunggal buat pinjaman segera

Advertisement

SIBU: Seorang ibu tunggal dibelenggu keresahan jiwa kerana mendakwa bantuan kewangan diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dipotong setiap bulan tanpa kerelaannya sejak Jun lalu.

Tidak tahan dibebani masalah itu, pengadu, 48, bekerja di sebuah premis kedai katering di sini menyiasat anak lelakinya dan anaknya mengakui, seorang rakan menggunakan akaun bank ibunya untuk membuat pinjaman wang daripada sebuah syarikat pinjaman swasta.

Menurut pengadu, daripada RM300 wang bantuan diterimanya daripada JKM, dia hanya mendapat RM120 sebulan.

Beban pengadu semakin berat apabila selalu menerima panggilan daripada syarikat peminjam berkenaan yang menuntut bayaran bulanan.

“Saya menerima panggilan syarikat pinjaman berkenaan sejak awal Oktober lalu. Mereka memberitahu saya perlu menjelas bayaran tunggakan lima bulan,” katanya.

Katanya, tindakan mahkamah akan diambil terhadapnya jika pembayaran tidak dijelas dalam tempoh diminta.

Menurut pengadu, dia membuat laporan polis berhubung perkara tersebut 21 Oktober lepas namun pemanggil daripada syarikat pinjaman itu tidak putus-putus mengganggu ketenteramannya.

Semalam pengadu tampil semula ke balai namun dinasihat berbincang dengan pihak berkenaan termasuk JKM selain mendapat khidmat guaman relevan.

Akhirnya, pengadu bercadang untuk menukar nombor talian telefon serta menutup akaun bank.

Advertisement