Anda di sini

NGO dipelawa bantu pulihara hutan, alam sekitar

Advertisement

Jika perjuangan sama mengurus hutan dan alam sekitar, tidak perlu bergaduh dengan kerajaan negeri

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

 Adenan melakukan simbolik pelancaran Pelan Integriti Organisasi Jabatan Hutan Sarawak (PIOJHS) 2015-2018 sambil disaksikan oleh Sapuan (kiri), Awang Tengah (kanan) dan Morshidi.

RASMI: Adenan melakukan simbolik pelancaran Pelan Integriti Organisasi Jabatan Hutan Sarawak (PIOJHS) 2015-2018 sambil disaksikan oleh Sapuan (kiri), Awang Tengah (kanan) dan Morshidi.

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama membantu Sarawak memulihara hutan dan alam sekitarnya.

Jelasnya, jika perjuangan NGO luar termasuk antarabangsa pada landasan yang sama untuk memulihara hutan, maka tidak perlu berkelahi dengan kerajaan negeri Sarawak.

“Jika perjuangan kita sama iaitu mahu menjaga dan memulihara hutan, tidak perlu kita nak bergaduh atau menuding jari antara satu sama lain,” katanya.

Adenan berkata demikian dalam Majlis Makan Malam anjuran Jabatan Perhutanan Sarawak bertempat di Imperial Hotel Miri malam kelmarin.

Jelas Adenan, sebaliknya mereka dialu-alukan ke Sarawak dan menjalin kerjasama kerana tujuan adalah sama iaitu mengurus hutan dan alam sekitarnya secara mapan.

Hadir sama ialah Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Sapuan Ahmad, Ketua Pengarah Eksekutif Tabung Alam Dunia Malaysia (WWF-Malaysia) Datuk Dr. Dionysius Sharma dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani.

Adenan turut memberi peringatan kepada enam syarikat konsesi kayu utama di sini atas usaha memerangi kecurian balak di Sarawak.

Jelas beliau, kerajaan negeri tidak teragak-agak  membatal lesen mana-mana syarikat tempat pembalakan digelar ‘Big Six’, jika mana-mana pekerja didapati bersalah melaku penebangan secara haram.

“Antara usaha diambil kerajaan adalah memerangi pembalakan haram dengan kerjasama daripada ‘Big Six’ ini.

“Namun, saya tidak menyalahkan syarikat induk pembalakan utama berkaitan keadaan pembalakan haram di sini,” katanya.

Jelasnya,  mereka mempunyai pekerja mereka sendiri  mengurus kerja  pembalakan terbabit dan jika mana-mana pekerja  didapati bersalah iaitu terlibat dalam pembalakan haram, lesen mereka akan dibatalkan.

Bagaimanapun katanya, beliau berpuas hati kerjasama dijanji syarikat pembalakan utama di sini dalam membantu kerajaan negeri memerangi kecurian balak berkenaan.

Mengulas mengenai Jabatan Hutan Sarawak, beliau berpuas hari dengan usaha jabatan terbabit dalam melindungi hutan negeri daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau turut menggesa pasukan penguatkuasaan hutan menggunakan kemudahan yang telah diberikan sewajarnya.

“Guna semua teknologi canggih diberi dalam usaha untuk menyelamatkan hutan kita di sini. Pergiat lagi usaha serta  langkah pengawasan terhadap penjagaan hutan.

“Teruskan melaksana tanggungjawab anda dalam melindungi hutan kita. Tugas anda bukan hanya menjaga, tetapi turut sayang kepada hutan,” ujarnya.

Sementara itu, Adenan juga melancarkan Pelan Integriti Organisasi jabatan itu yang dilaksanakan selama tiga tahun bermula pada tahun ini sehingga 2018.

Beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 71 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2014.

Adenan kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) anatara Jabatan Hutan Sarawak dan WWF-Malaysia bagi memupuk kerjasama kukuh antara kedua-dua pihak dalam usaha membantu kerajaan memulihara hutan dan pengurusan sumber asli yang mapan.

Advertisement