Anda di sini

Empat trauma terperangkap dalam lif Limbang Plaza

Advertisement

LIMBANG: Trauma dan fobia, itulah perasaan beberapa penduduk di daerah ini selepas berdepan detik cemas terperangkap beberapa minit dalam lif di bangunan Limbang Plaza di sini petang semalam.

Seorang penduduk Nicholas 50-an memberitahu pintu lif yang digunakan berdentum sebaik dia dan tiga lagi individu sedang turun dari aras tingkat enam, manakala pintu lif tidak dapat dibuka sebaik berada di aras bawah.

“Saya berada dalam keadaan cemas apabila berada dalam lif ketika turun dari tingkat enam.

“Ketika turun, kami terdengar bunyi berdentum, manakala pintu lif tidak dapat dibuka dan kami terperangkap beberapa minit dalam lif terbabit,” dedahnya.

Katanya, mereka masih trauma untuk menggunakan lif akibat kejadian itu yang kali pertama dihadapinya.

Sebelum ini katanya kemudahan lif sering digunakan namun tidak berdepan sebarang masalah.

“Akibat kejadian semalam, saya masih fobia dan trauma,” katanya lagi.

Nicholas mahu  pihak bertanggungjawab segera menyelenggara kemudahan itu bagi mengelak perkara buruk berlaku.

Sebelum ini difahamkan pihak bangunan Limbang Plaza pernah melakukan kerja menyelenggara kemudahan itu.

Bagaimanapun keadaan lif yang uzur dan lama itu memerlukan pemantauan secara kerap pihak berkaitan.

Bagi seorang penduduk, Ahmad, 56, berkata dia begitu bimbang masalah dihadapi jika kemudahan itu sering mengalami kerosakan kerana ia merupakan keperluan penjawat awam di bangunan berkenaan.

Katanya, keadaan lif kerap rosak menimbulkan kerisauan orang ramai, penjawat awam dan mereka menggunakan kemudahan tersebut.

“Meskipun kes terperangkap dalam lif jarang  berlaku tetapi ia tetap menimbul kebimbangan dalam kalangan penduduk memandangkan mereka terdedah kepada risiko bahaya setiap kali menggunakan lif ini,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya berharap tindakan selanjutnya dapat diambil dalam mengatasi masalah ini memandangkan lif berkenaan digunakan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Katanya, risiko terperangkap dalam lif sememangnya akan memberi kesan buruk dan mampu menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

Advertisement