Anda di sini

217 pelajar Sarawak terima dermasiswa Yayasan KTS

Advertisement

Insentif sebagai pendorong semangat, suntik motivasi pelajar untuk mencapai prestasi cemerlang

// Oleh Jessica Jawing //

 Wong Sing Seng menyampaikan cek dermasiswa kepada penerima bahagian Kuching sambil disaksikan Wong Kee Choon (kiri) dan Cheng (dua kiri) pada satu majlis diadakan di Crown Towers di Kuching, semalam.

PENDIDIKAN: Wong Sing Seng menyampaikan cek dermasiswa kepada penerima bahagian Kuching sambil disaksikan Wong Kee Choon (kiri) dan Cheng (dua kiri) pada satu majlis diadakan di Crown Towers di Kuching, semalam.

KUCHING: Seramai 217 pelajar dari 67 sekolah terlibat di seluruh negeri telah dipilih menerima anugerah dermasiswa Yayasan KTS pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, 68 pelajar dari bahagian Kuching dan mereka hadir bersama guru serta ibu bapa pada satu majlis sederhana di Crown Towers di sini sementara pelajar lain terpilih turut disampai secara serentak di Sibu, Bintulu dan Miri.

Majlis penyampaian dermasiswa itu semalam disempurnakan ahli jawatankuasanya Wong Sing Seng serta Wong Kee Choon sementara turut hadir sama ahli jawatankuasa lain, Desmond Cheng dan Simon Lao.

Wong Sing Seng dalam ucapannya berkata, pada majlis itu setiap pelajar cemerlang terpilih menerima cek bernilai RM300 dan baucar penebusan langganan akhbar atau langgan ‘e-Paper’ percuma Utusan Borneo atau See Hua Daily News.

“Sejak dermasiswa ini diwujudkan pada tahun 2009, sejumlah 1,395 pelajar menerima manfaat daripada insentif pendidikan ini.

“Yayasan KTS tidak hanya menawar dermasiswa kepada pelajar sekolah menengah sahaja tetapi menyumbang dana ke sekolah dan biasiswa pengajian tinggi kepada anak kakitangan KTS Group dan anak pelanggan rangkaian akhbar KTS iaitu The Borneo Post, Utusan Borneo dan See Hua Dailys News,” katanya.

Tambah beliau, Yayasan KTS turut menyediakan insentif tunai kepada anak kakitangan KTS dan See Hua yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam, sejajar objektif mempromosi pencapaian pendidikan tinggi.

Menurutnya lagi, mereka dipilih adalah pelajar cemerlang dan berkelayakan juga daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Kami berharap pelajar hadir di sini mengguna sumber berita dengan sebaiknya untuk tahun akan datang. Ia selaras objektif jawatankuasa utama biasiswa KTS.

“Ini termasuk memberi motivasi kepada pelajar sekolah menengah cemerlang dalam akademik selain mengurang bebanan kewangan ibu bapa dalam membantu pelajar cemerlang dalam akademik di samping mempromosikan tabiat membaca,” tegasnya.

 Wong Sing Seng (depan dua kanan) bersama Lao (depan kanan) serta ahli jawatankuasa lain merakam kenangan bersama penerima di bahagian Kuching, semalam.

CEMERLANG: Wong Sing Seng (depan dua kanan) bersama Lao (depan kanan) serta ahli jawatankuasa lain merakam kenangan bersama penerima di bahagian Kuching, semalam.

Advertisement