Anda di sini

Pengantin wanita mesti 16 tahun ke atas

Advertisement

Oleh Patricia Gari//

 

 Manyin (tengah) ketika sesi soal jawab pada Seminar Ketua Masyarakat Bidayuh semalam. Turut kelihatan Austin (kanan) dan Temenggung Henry Bujang Sadok.

BERSEMINAR: Manyin (tengah) ketika sesi soal jawab pada Seminar Ketua Masyarakat Bidayuh semalam. Turut kelihatan Austin (kanan) dan Temenggung Henry Bujang Sadok.

KUCHING: Ketua masyarakat Bidayuh disaran tidak mendaftar perkahwinan pasangan jika bakal pengantin wanita berusia kurang daripada 16 tahun.

Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata ia penting sebagai langkah mengelak berlakunya masalah kehamilan dalam kalangan remaja Bidayuh yang menurutnya semakin serius ketika ini.

“Ketua masyarakat di Serian sudah tidak lagi mendaftar perkahwinan yang pasangan wanita atau bakal isteri berumur kurang daripada 16 tahun.

“Saya mencadangkan perkara sama dilakukan oleh ketua masyarakat Bidayuh di kawasan lain iaitu di Siburan, Padawan, Bau dan Lundu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Majlis Ketua Masyarakat Bidayuh (BCE) di Dewan DBNA dekat sini, semalam.

Terdahulu semasa menyampaikan ucaptamanya, Manyin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan berkata dalam Adat Bidayuh 1994, tiada had umur dikenakan kepada pasangan yang mahu berkahwin.

Perkara itu bagaimanapun ujarnya, memberi implikasi negatif antaranya kehamilan pada usia remaja dan perceraian dalam kalangan pasangan muda.

“Dalam hal ini ketua masyarakat dan ketua kaum perlu tegas kerana ia bukan sahaja mengurangkan isu kehamilan pada usia muda tetapi mengelak perceraian kerana pasangan ini belum cukup matang mengharungi kehidupan berumah tangga,” ujarnya.

Sementara itu Temenggung Austin Dimin memberitahu, terdapat opsyen untuk kaum Bidayuh mendaftar perkahwinan mereka iaitu di bawah Adat Bidayuh 1994, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan gereja.

Menurutnya di bawah undang-undang JPN, perkahwinan membabitkan pasangan lebih-lebih lagi wanita bawah 16 tahun tidak dibenarkan.

“Sebenarnya terdapat beberapa opsyen untuk mendaftar perkahwinan iaitu di bawah Adat Bidayuh 1994, JPN atau gereja kerana paderi telah dilantik sebagai pembantu pendaftar perkahwinan oleh JPN.

“Oleh itu kami menyarankan agar ketua kaum mengadakan dialog dengan penduduk kampung memaklumkan perkara ini.

“Walaupun ia isu yang agak sensitif, ia perlu dibangkitkan bagi mengelak timbul masalah sosial lain,” ujarnya.

Seminar sehari itu semalam dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum dari daerah Kuching, Bau, Padawan, Serian dan Lundu.

Pelbagai isu dibangkitkan antaranya penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Bidayuh membabitkan kampung tradisi dan tapak warisan, adat dan budaya Bidayuh.

 

Advertisement