Anda di sini

Pemuda adiwira

Advertisement

Oleh Michael Ubam//

 

 Mangsa menunjukkan kesan luka di bahagian belakangnya semalam.

LAPAN JAHITAN: Mangsa menunjukkan kesan luka di bahagian belakangnya semalam.

SIBU: Seorang pemuda cedera dilibas dengan parang dalam usaha menyelamatkan dua saudaranya yang diserang seorang lelaki di Jalan Sentosa di sini, petang Ahad lalu.

Dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, mangsa, 23, bersama seorang adik perempuannya dalam perjalanan pulang menaiki motosikal apabila terserempak dengan dua saudaranya berumur 16 dan 10 tahun berada dalam ketakutan ketika berdepan dengan suspek.

Mangsa kemudian berdepan dengan suspek meminta penjelasan sebab-sebab beliau memarahi budak-budak tersebut.

Suspek, 33, mendakwa keretanya telah dilanggar oleh budak-budak terbabit, namun mangsa tidak mendapati sebarang kesan rosak mahupun calar di mana-mana bahagian kereta suspek.

Difahamkan, saudara mangsa yang berumur 16 tahun dipercayai ditampar dan ditumbuk oleh suspek sebelum mangsa muncul.

Kehadiran mangsa membuatkan suspek mengalih tumpuan untuk bertengkar dengannya sehingga suspek bertindak mengejar mangsa dengan parang.

Menurut mangsa, bahagian bahu kiri belakang dan lengan kirinya terkena libasan parang suspek semasa melarikan diri ke rumah.

Apabila sampai di rumah, mangsa mengambil batang besi untuk mempertahankan diri dan memukul suspek yang terus beredar dari situ.

Kedua-dua saudara mangsa kemudian memberitahu ibu bapa dan ahli keluarga lain mengenai kejadian itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Sibu oleh ahli keluarganya dan menerima 15 jahitan termasuk lapan jahitan di bahagian belakang bahu akibat dilibas suspek.

Mangsa juga terpaksa dimasukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar keesokannya.

Susulan itu, ahli keluarga saudara mangsa membuat laporan polis.

Difahamkan, suspek yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan turut mendapatkan rawatan di Hospital Sibu berjaya ditahan polis kemudian.

Suspek kini masih ditahan di lokap balai polis di sini sementara kes dalam siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

 

 

Advertisement