Anda di sini

Jabu umum Harden, Dr Rayong sudah berdamai

Advertisement

SRI AMAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang membuat kejutan kepada ketua-ketua masyarakat sekitar Sri Aman termasuk Lubok Antu-Engkilili apabila mengumumkan di sini semalam, bahawa Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis sudah berdamai dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Jabu berkata memang ada berlaku perselisihan fahamdi antara Harden dan Dr Rayong sebelum ini tetapi kini mereka sudah berdamai.

Menurutnya, perselisihan faham yang berpanjangan tidak membawa apa-apa kebaikan malah lebih mendatangkan keburukan lebih-lebih lagi kepada Barisan Nasional (BN).

“Jadi hari ini saya nasihatkan mereka berdua agar berdamai semula demi kebaikan rakyat di sini,” katanya pada Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015 Bahagian Sri Aman di sini, semalam.

Jabu mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meminta Harden yang juga ADUN Simanggang dan Dr Rayong berdiri di hadapan orang ramai pada majlis itu.

Sebaik sahaja Jabu memberitahu bahawa mereka berdua sudah berdamai, seramai 531 ketua masyarakat bertepuk tangan sebagai tanda gembira.

Perselisihan faham antara Harden dan Dr Rayong yang sebelum ini adalah kawan rapat bermula sebaik Dr Rayong keluar daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Advertisement