Anda di sini

45 pertubuhan dan kelab di Sibu terima geran MRP

Advertisement

SIBU: Sebanyak 45 pertubuhan dan kelab di Sibu menerima geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM350,000 semalam.

Semua geran tersebut disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh di Tingkat 5, Wisma Sanyan di sini semalam.

Berucap pada majlis tersebut, Wong berkata ini adalah kali keenam beliau menyerahkan dana seumpama itu kepada organisasi di sini tahun ini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal ekoran dana yang terhad memandangkan beliau hanya satu-satunya wakil kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN).

Katanya walaupun pembangkang mempunyai wakil kaum Cina namun mereka tidak layak menerima dana daripada BN.

“Sebagai wakil tunggal menjaga organisasi itu di negeri ini adalah sangat sukar.

“Dana daripada saya sangat terhad untuk menampung keperluan ramai,” katanya.

Sementara itu Wong berkata, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) diberi masa mencari penyelesaian secara baik bagi peruntukan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya jika tiada penyelesaian dibuat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan membuat keputusan akhir.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuang dan Andrew Shilling serta Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Oliver Kuo.

 

 

Advertisement