Anda di sini

13 pemenang Anugerah Hartanah Malaysia 2015 terima pengiktirafan

Advertisement

Oleh Adriana Mroon Ambrose//

 

 Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Anugerah Hartanah Malaysia 2015 bergambar bersama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (tengah).

DEDIKASI: Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Anugerah Hartanah Malaysia 2015 bergambar bersama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (tengah).

PETALING JAYA: FIABCI Malaysian Chapter meraikan ulang tahun Anugerah Hartanah Malaysia ke-23 dengan menyaksikan 13 pemenang anugerah menerima pengiktirafan itu di Hotel One World, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Bersama Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd Tan Sri Lim Kang Hoo dipilih sebagai Tokoh Hartanah manakala Pengarah Bukan Eksekutif IJM Land Berhad Datuk Soam Heng Choon dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hartanah Terbaik 2015.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Selain dua anugerah individu itu, terdapat 11 anugerah lain yang dipertandingkan.

Front Concepts Sdn Bhd memenangi dua kategori iaitu Kategori Alam Sekitar (Pemeliharaan dan Pemuliharaan) menerusi Senibong Cove – Lunchoo River dan kategori Pelan Induk melalui projek Senibong Cove.

Kategori Hotel pula dimenangi oleh WOLO Bukit Bintang yang dibangunkan oleh Mammoth Empire Holding Sdn Bhd manakala kategori Industri menjadi milik Nouvelle Industrial Park Lot 10 oleh Exsim Development Sdn Bhd.

Bagi Kategori Pejabat, ia dimenangi oleh Menara Shell di bawah Malaysian Resources Corporation Berhad.

Untuk Kategori Residensi (Bangunan Tinggi), projek The Haven Lakeside yang dibangunkan oleh The Haven Sdn Bhd memenangi kategori berkenaan manakala Kategori Residensi (Bangunan Sederhana Tinggi) dimenangi Dedaun oleh Selangor Dredging Berhad dan Kategori Residensi (Bangunan Rendah) menjadi milik The Mansions oleh Perdana ParkCity Sdn Bhd.

Kategori Resort dimenangi oleh Batu Batu Resort yang dibangunkan oleh Batu Batu Resort Sdn Bhd.

Kategori Retail menjadi milik Gurney Paragon Mall yang dibangunkan oleh Hunza Properties (Penang) Sdn Bhd manakala Kategori Pembangunan Mampan menjadi milik S P Setia Headquarters oleh S P Setia Berhad.

Presiden FIABCI Malaysia Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud mengucapkan tahniah kepada pemenang dan memberitahu, anugerah tersebut dilihat mampu menjadi platform kepada pemaju untuk menampilkan kecemerlangan dalam projek pembangunan mereka selain sebagai peluang untuk memperbaiki kebolehan serta kekuatan dalam industri hartanah ini.

Beliau turut berharap agar anugerah ini akan menjadi motivasi kepada pemaju untuk terus membangunkan lebih banyak projek yang bagus dengan mengambil kira kebaikan kepada komuniti.

“Saya tidak berharap reka bentuk dan konsep yang mewah merupakan satu amalan semata-mata untuk menarik pembeli-pembeli, sebaliknya, keinginan untuk membina projek pembangunan yang bermutu tinggi, mengambil kira kebaikan komuniti dan memulihara alam sekitar patut dijadikan sebagai teras dalam pelan projek pembangunan mereka,” kata Ab Aziz.

Sementara itu, Setiausaha Agung FIABCI Malaysia yang juga pengerusi jawatankuasa pengelola anugerah itu, Dr Yu Kee Su melahirkan rasa bangga kerana semakin banyak projek pembangunan tempatan dalam penyertaan kali ini sekali gus menjadikan proses penjurian bertambah sukar tahun demi tahun.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati kerana kualiti keseluruhan anugerah tidak dikompromi biarpun pihak juri sukar memilih para pemenang.

Beliau turut menegaskan pemilihan pemenang anugerah itu dijalankan secara profesional dan memasukkan setiap peringkat dalam proses penjurian dari awal hingga penghujung.

“Proses penjurian Anugerah Hartanah Malaysia tidak mengambil kira pilihan seorang sahaja sebaliknya melalui tiga peringkat pemarkahan, iaitu penilaian fizikal oleh penilai-penilai, peringkat juri dan akhir sekali peringkat pengadil bebas. Setiap kriteria dan proses penjurian mengambil kira semua aspek termasuk kualiti keseluruhan, strategi pemasaran dan peringkat persediaan,” kata Yu.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa lebih ramai pemaju untuk menyertai anugerah ini pada masa akan datang.

“Kami mahu lihat lebih banyak penyertaan aktif daripada pemaju tidak kira kecil atau sederhana. Kami harap, para pemaju memahami objektif anugerah ini adalah bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan hartanah,” jelasnya.

Ab Aziz dan Yu juga berpuas hati untuk mengumumkan bahawa lima daripada pemenang projek pembangunan pada Anugerah Hartanah Malaysia tahun lalu berjaya memenangi Anugerah Prix d’ Excellence yang berlangsung di Malaysia pada Mei lepas.

Para pemenang Anugerah Hartanah Malaysia tahun ini akan mewakili Malaysia untuk terus bersaing dengan projek-projek pembangunan dari negara-negara lain dalam Anugerah Hartanah FIABCI Prix d’Excellence yang bakal diadakan di Panama City, Panama pada Mei 2016.

FIABCI adalah singkatan kepada bahasa Perancis ‘Federation Internationale des Administrateurs de Bien-Conselis Immobiliers’ atau dikenali sebagai Pertubuhan Hartanah Antarabangsa.

FIABCI Malaysia telah berkembang sejak tahun 1975 dengan objektif untuk memupuk muhibah dan persefahaman dengan organisasi antarabangsa dan menggalakkan kemajuan dalam perkembangan melalui sistem yang lebih baik.

Ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar bidang hartanah, seperti pemaju-pemaju, arkitek, penilai-penilai, kontraktor, perunding, jurutera, peguam, ejen hartanah profesional dan pengurus hartanah.

Ia merupakan suatu organisasi yang menghimpunkan para pakar dari semua bidang industri hartanah di samping memperuntukkan platform interaksi sama satu lain sekali gus memberi peluang perniagaan melalui pembelajaraan kemajuan yang profesional.

Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2015 merupakan suatu pengiktirafan yang bertaraf emas bagi pemaju hartanah di Malaysia. Ia merupakan satu platform untuk mempamerkan ciptaan mereka yang terbaik. Anugerah tersebut memperoleh pengiktirafan dan prestij ‘Anugerah Oscar’ dalam industri hartanah. Ia telah menjadi sesuatu jenama yang tersendiri dengan para pemaju hartanah bersaing untuk memenangi anugerah tersebut.

Oriental Daily News merupakan satu-satunya rakan media untuk Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2015 diikuti dengan Maybank yang merupakan penaja rasmi.

 

Advertisement