Anda di sini

Usaha gigih, tidak mudah putus asa ‘resipi’ kejayaan Yusriazmi

Advertisement

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

 Yusri (kanan) ketika beraksi bersama regunya  di Kejohanan Terbuka Bumiputera Sarawak di Thumb’ Up Sibu.

TANGKAS: Yusri (kanan) ketika beraksi bersama regunya di Kejohanan Terbuka Bumiputera Sarawak di Thumb’ Up Sibu.

BERBEKALKAN minat yang mendalam terhadap sukan badminton, Yusriazmi Yusuf, 35, percaya menerusi usaha yang gigih dan tanpa mengenal erti putus asa mampu membawa beliau ke peringkat lebih tinggi dalam arena sukan badminton.

Pemuda kelahiran Kampung Tengah, Igan itu yakin dan opitimis bahawa kejayaan boleh dicapai jika mempunyai keinginan untuk berjaya.

Ini dapat dibuktikan apabila beliau disahkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tersenarai sebagai pemain simpanan untuk kejohanan Maybank Malaysia International Challenge (MIC) Badminton Championships 2015 yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 10 hingga 15 November ini.

Walaupun hanya tersenarai sebagai pemain simpanan, ini sudah cukup membuktikan bahawa usaha kerasnya selama ini mula menampakkan hasil.

Beliau percaya, dengan sedikit usaha  lagi, pasti akan membawa beliau pergi lebih jauh dalam arena sukan badminton pada masa akan datang.

Minat terhadap sukan badminton bukan penghalang baginya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pendidik yang telah 12 tahun berkhidmat di sekolah SM Sains Kuching sebagai guru Pendidikan Jasmani.

Ketika ini, Yusri yang mempunyai Ijazah Pendidikan (Pendidikan Fizikal) Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, sedang giat menjalani latihan di Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak, Samariang setiap hari Selasa dan Khamis, dari jam 7.30 malam hingga 10 malam.

Anak pertama daripada enam beradik itu mula berjinak-jinak dengan sukan badminton sejak berusia tujuh tahun.

Di peringkat awal, Yusri hanya bermain badminton sebagai aktiviti riadah sahaja.

Beliau mula serius mendalami sukan ini ketika berada di sekolah menengah SMB Methodist Sibu pada tahun 1994 sehingga tahun 1999 dan telah mengikuti kejohanan badminton bawah 15 tahun (MSSM Sibu) ketika berada di tingkatan dua dan telah terpilih menjadi ahli Persatuan Badminton Sibu (PBS).

Sepanjang berada dalam PBS, Yusri telah menjalani latihan di pusat latihan yang berpusat di SMB Sacred Heart dari tahun 1994 hingga 1997 dan sempat mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih dari China iaitu Zheng Yu Ming yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan PBS ketika itu.

Antara kejohanan yang pernah disertai Yusri ketika berada di bangku sekolah ialah MSSM Sibu 1995 (perseorangan dan beregu bawah 15), MSSM Sarawak 1995, MSSM Sibu 1996, MSSM 1996, Kejohanan Tertutup Sibu/Sarawak Antara Kumpulan 1996 dan MSSM Sibu/Sarawak 1997.

Ujar Yusri, sumber inspirasi atau dorongan untuk menyertai sukan badminton adalah daripada bapanya sendiri yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan tersebut kepada dirinya.

“Bapa saya turut meminati sukan badminton ini, dan dari situlah timbul minat saya terhadap sukan ini.

“Tugasnya sebagai pendidik tidak menjadi penghalang kepada beliau untuk memberi dorongan kepada saya agar melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang saya sertai.

“Saya juga mendapat sokongan penuh daripada ahli-ahli keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa menaikkan semangat saya untuk terus melangkah jauh,” katanya sambil menambah bahawa beliau kini mempunyai lesen C kejurulatihan yang ditauliahkan oleh BAM.

Ditanya mengenai pengalaman manis dan pahit sepanjang penglibatan dalam sukan badminton, Yusri memberitahu pengalaman manisnya adalah merangkul gelaran johan dua kali berturut-turut dalam kejohanan badminton Siti Hasmah Cup Inter Team Champion di Multimedia University pada tahun 2002 dan di Melaka pada tahun 2003 ketika menuntut di UPM.

Manakala, pengalaman pahitnya pula apabila tidak terpilih dalam pemilihan SUKMA Sarawak di Pahang tahun 1996 dan SUKMA Sarawak di Selangor pada tahun 1998.

Tambahnya, ketika berada di universiti selama tiga tahun (2000 hingga 2003), beliau banyak mengikuti kejohanan badminton antaranya Sukan Universiti Malaysia (SUKMAS), Intervarsiti Mahasiswa Sarawak,

Siti Hasmah Cup Inter Team dan Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Di samping itu, katanya beliau juga pernah mengikuti Kem Kecemerlangan Badminton anjuran MAHSUM, Kementerian Belia dan Sukan dan Nusa Mahsuri di UKM Bangi pada tahun 2003 yang dikendalikan oleh Datuk Dr. Misbun Dato Sidek.

Ditanya mengenai perancangan jangka panjangnya, Yusri berharap suatu masa nanti beliau akan ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan jaguh badminton dalam negara mahupun antarabangsa.

Bagi dirinya, meskipun cita-cita itu tinggi di awan, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Beliau juga berharap pada masa akan datang, akan lahirnya anak-anak watan negeri Sarawak terutama dari kalangan Bumiputera, mewakili negara dalam kejohanan badminton di peringkat antarabangsa.

“Pada masa ini, di BAM tidak ada orang Sarawak di dalamnya untuk menjadi pelapis skuad badminton negara.

“Satu hari nanti, saya berharap ada wakil Sarawak akan berada di bawah naungan BAM sebagai pelapis, itu yang saya harapkan,” katanya.

Akhir kata daripada Yusri, beliau berpesan kepada anak-anak muda dan penggiat sukan badminton di negeri ini supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa merebut peluang dengan menyertai pelbagai kejohanan yang dianjurkan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Tidak ada kejayaan mampu kita miliki tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

“Jika kita minat, berusahalah dengan gigih hingga kita mampu mengharumkan nama negara di persada dunia,” kata Yusri penuh bersemangat.

Sementara itu, Yusri kini merupakan pemain Kelab Badminton SIOL dan memegang jawatan sebagai bendahari.

Antara kejohanan badminton yang terbaharu disertai oleh Yusrri sepanjang tahun 2015 ialah Willowbliss Open Mens, Piala Pusingan Datuk Lee Khim Shin & BNG Li Ning Group Stage, MAKSAK (Sarawak) Badminton Tournament Inter Team, DUN Nangka Open Sibu Badminton Tournament Mens Double, Persahabatan Open Badminton Tournament Inter Team, GOLD PRIX 5 Bumiputera Sarawak Open, Maybank Sirkit Kebangsaan Kuala Lumpur Open 2015 dan Maybank Sirkit Kebangsaan Perak 2015.

 Yusri (depan, kanan) bergambar bersama pasukan SIOL  pada Pertandingan Badminton Berpasukan Maal Hijrah 2015.

KENANGAN: Yusri (depan, kanan) bergambar bersama pasukan SIOL pada Pertandingan Badminton Berpasukan Maal Hijrah 2015.

Advertisement