Anda di sini

Bukit Mabong merancakkan ekonomi di kawasan tengah

Advertisement

KAPIT: Pengisytiharan Bukit Mabong sebagai daerah baharu bakal merancakkan ekonomi di kawasan tengah khususnya di Kapit.

Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata Bukit Mabong juga mungkin merupakan salah satu daerah dihuni penduduk dikelilingi gunung dan lembah serta sungai-sungai yang deras.

Katanya daerah Bukit Mabong mempunyai keluasan kira-kira 11,976 kilometer persegi dan dihuni kira-kira 22,145 orang daripada 117 rumah panjang.

“Bentuk muka buminya masih memiliki hutan tebal serta berbukit bukau, sangat berpotensi dibangunkan sebagai ekopelancongan.

“Selain itu, kawasan kaki bukitnya sehingga Sungai Tunoh yang dianggarkan seluas kira-kira 50,000 ekar juga sangat berpontesi dijadikan sebagai jelapang padi,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bukit Mabong di Kapit semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Parlimen Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Menurut Dr Masing, pengwujudan daerah itu menjadi suatu realiti selari dengan usaha kerajaan mentransformasikan kawasan luar bandar seiring dengan kemajuan di bandar.

Jelasnya, pentadibiran daerah Bukit Mabong menyediakan perkhidmatan pembangunan kepada penduduk kawasan sekitarnya.

“Sebelum ini, rakyat di sini yang memerlukan perkhidmatan terpaksa ke Kapit dan keadaan itu menyukarkan rakyat kerana melibatkan kos pengangkutan tinggi serta mengambil masa lama,” katanya.

Dalam pada itu, Douglas Pungga merupakan anak tempatan dilantik sebagai pegawai daerah Bukit Mabong yang pertama.

Sebelum diisytiharkan sebagai daerah baharu, Bukit Mabong merupakan kawasan di bawah pentadbiran daerah Kapit dan Belaga.

 

Advertisement