BEAUFORT: Latihan kebakaran yang dijayakan bersama beberapa agensi membantu orang awam selain kakitangan menghadapi kemalangan yang berlaku di luar kawasan bangunan dengan lebih efisien.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Sulaiman Yusof berkata, program kali kedua yang diadakan bersama pihak hospital serta agensi lain pada tahun ini membawa kelainan berikutan latihan berkenaan diadakan di luar bangunan.
“Bencana yang terjadi di luar yang berbeza daripada di dalam bangunan serta ia menguji ketangkasan anggota untuk bertindak lebih pantas dan cekap dalam segala aspek termasuk persediaan peralatan dan sebagainya.
“Latihan kebakaran juga melatih anggota dalam melakukan operasi mencari dan menyelamat dalam masa yang ditetapkan selain membawa mangsa ke kawasan selamat untuk diserahkan kepada pihak ambulans.
“Kelainan dalam latihan juga membantu orang ramai untuk merasai pengalaman sebenar serta mempelajari cara-cara serta panduan keselamatan yang betul dalam menghadapi kemungkinan kemalangan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Beaufort Dr Sutharsan Kannan berkata, program latihan kebakaran membantu mencapai keselarasan serta kecekapan agensi terlibat dalam menghadapi kecemasan.
“Persediaan bencana di kawasan luar bangunan adalah penting untuk kakitangan terlibat agar mereka mampu memberi respons segera berikutan kemalangan seumpamanya sering kali berlaku.
“Latihan yang dilakukan juga mampu melatih orang awam termasuk pasukan keselamatan dalam memperbaiki sebarang kelemahan selain mengajar benda baharu dalam menghadapi sebarang bencana pada masa akan datang,” katanya.
Senario latihan memperlihatkan seramai 10 mangsa yang terbabit di dalam kemalangan membabitkan kereta api dan sebuah van di lintasan kereta api berdekatan Kampung Bakalau, di sini pagi kelmarin.
Latihan yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas selain mengejutkan rata-rata penduduk kampung yang berada di sekitar lokasi berikutan asap tebal kesan pelanggaran selain beberapa mangsa yang cedera.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara yang terawal tiba di lokasi dengan dibantu pihak ambulans Hospital Beaufort dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain pihak polis yang membantu mengawal lalu lintas.
Turut hadir, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Daerah (IPD) Beaufort Asisten Superintenden Samden Yassin, Ketua Stesen Keretapi Beaufort Brahim Awang Besar dan Pegawai JPAM Beaufort Abd Rasnan Rahim.