Anda di sini

SABA mengenal pasti ramai petinju bayangan mampu sumbang pingat

Advertisement

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo berkata penetapan hanya petinju berusia 18 hingga 21 tahun bertanding pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) pada 2016 di Sarawak tidak merencatkan persiapan skuad tinju negeri memburu pingat.

Menurut beliau, SABA telah mengenal pasti ramai petinju bayangan dalam linkungan usia itu (18-21 tahun) yang berpotensi menyumbang pingat untuk Sarawak.

“SABA akur dengan keputusan Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) berhubung perkara itu namun ia tidak merencatkan persiapan Sarawak untuk memburu pingat,” katanya ditemui selepas permohonan Sarawak menetapkan syarat hanya petinju berusia 16-17 tahun dibenarkan bertanding pada tahun depan ditolak oleh PTM.

“Memang kita mengharapkan cadangan asal diterima kerana kita (SABA) telah melatih ramai petinju berpotensi dalam lingkungan umur tersebut.

“Apapun, keputusan telah diputuskan dan kini SABA perlu fokus kepada persiapan petinju-petinju untuk menghadapi temasya tersebut,” jelas Rahman.

Atlet tinju Sarawak dilatih oleh jurulatih dari Indonesia, Fred Mandagi.

Dalam perkembangan berbeza, Rahman memberitahu pusat beli-belah Plaza Merdeka di Bandaraya Kuching kekal sebagai venue acara tersebut pada tahun depan.

Menurutnya, PTM bersetuju dengan pemilihan Plaza Merdeka selepas diberi penjelasan terperinci oleh SABA berhubung aspek keselamatan dan tanggungjawab lain sebagai tuan rumah.

Sementara itu, persiapan Sarawak menganjurkan Kejohanan Tinju Golden Glove Kebangsaan 2015 di Kompleks Kubah Ria pada 14 hingga 20 September depan berjalan dengan lancar.

Kejohanan kebangsaan anjuran SABA dengan kerjasama PTM, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bakal disertai seramai 150 petinju seluruh negara.

Advertisement