Anda di sini

Klinik Kecemerlangan SPM program jenama berjaya

Advertisement

SIBU: Program Klinik Kecemerlangan SPM (KLIK_SPM) mampu menjadi ‘branding program’ (program jenama) berjaya di bandar Sibu.

Yang Dipertua Persatuan Graduan Bumiputera Sibu (PGBS) Shahrizal Azhar berkata PGBS terpaksa menambah kuota peserta seramai 100 orang tahun ini atas permintaan menggalakkan daripada ibu bapa.

“Tahun lalu, sebagai julung kalinya penganjuran program KLIK_SPM oleh PGBS kita mengehadkan kuota 200 orang murid.

“Namun tahun ini kita membuat beberapa anjakan dengan mengambil seramai 300 orang peserta,” katanya pada majlis perasmian KLIK_SPM 2015 di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian setelah mendapati program anjuran PGBS dengan kerjasama Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) dan Pusat Khidmat DUN Nangka mendapat sambutan positif daripada banyak pihak terutamanya ibu bapa dan murid-murid sekolah tingkatan lima.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Wong Chong Kung, Timbalan Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Sabarudin Mohd dan Dekan Sekolah Pengajian Asasi UCTS, Dr Wong Sing Sing.

Beliau memberitahu, PGBS membuat ‘bedah siasat’ atas program berkenaan tahun lalu dan melakukan penambahbaikan dengan menambah jumlah jam tutorial kepada dua jam untuk satu sesi tutorial berbanding satu jam sebelum ini.

Di samping itu, jumlah minggu turut ditambah kepada 13 minggu berbanding 10 minggu tahun lalu.

“Hasil anjakan itu menyebabkan peningkatan kos pengurusan program dan tahun lalu untuk 200 orang pelajar dan jumlah masa selama 10 minggu setiap Ahad kita membelanjakan kira-kira RM40,000.

“Tahun ini kos meningkat kepada RM70,000 setelah kita membuat pelbagai penambahbaikan dan pembaharuan program ini,” ujarnya.

Selain itu, jumlah guru pakar mengajar para peserta turut ditambah kepada 30 orang.

Beliau berkata, seramai 18 orang bekas peserta program itu tahun lalu melanjutkan pengajian mereka di UCTS dalam bidang asasi di universiti berkenaan.

Sementara itu, KLIK_SPM julung kali diadakan tahun lalu dan tahun ini bermula pada 2 Ogos lalu dan berjalan selama 13 minggu setiap Ahad hingga 10 Oktober depan.

Program ini merupakan pertama kali diadakan di Sibu dan akan diteruskan setiap tahun.

Matlamatnya meningkatkan peratusan pelajar Bumiputera di sini dalam peperiksaan SPM dan meningkatkan prestasi pelajar kurang berpotensi mendapat sekurang-kurangnya lima subjek kredit dalam SPM.

Advertisement