Anda di sini

RM84 juta untuk menjayakan program pengukuran perimeter NCR

Advertisement
 Awang Tengah (berdiri lima kiri) menyampaikan surat warta kepada penduduk Kampung Kelati, Sungai Tubai Medamit malam kelmarin.

JAMINAN: Awang Tengah (berdiri lima kiri) menyampaikan surat warta kepada penduduk Kampung Kelati, Sungai Tubai Medamit malam kelmarin.

LIMBANG: Kerajaan negeri sudah membelanjakan sejumlah RM84 juta menjayakan program pengukuran perimeter NCR di bawah Inisiatif Baharu di negeri ini setakat 31 Julai lalu.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program penyukatan tersebut membabitkan 649 kawasan diluluskan (lebih 2.7 juta hektar).

Katanya sebanyak 428 kawasan sudah siap diukur membabitkan lebih 1.5 juta hektar.

“Manakala sejumlah 282 kawasan diwartakan di bawah program yang sama,” katanya pada Majlis Penyampaian Warta dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Limbang di sini malam kelmarin.

Turut sama Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Lampir Ripin Lamat, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Brahim Lumpu serta Penguasa Tanah dan Survei Limbang Arni Abdul Rahman.

Bagi bahagian Limbang, 59 kawasan diluluskan membabitkan 31,831 hektar, 46 kawasan siap diukur merangkumi 15,086 hektar dan 26 kawasan membabitkan 9,288 hektar.

Awang Tengah berkata program pengukuran perimeter NCR merupakan inisiatif kerajaan membantu rakyat mempunyai tanah adat berdepan pelbagai isu yang timbul termasuk pencerobohan.

“Kerajaan mengambil langkah menyukat tanah secara perimeter dahulu kerana kawasan luas di Sarawak. Ini memberi jaminan terhadap hak tanah mereka,” tambahnya.

Beliau memberitahu, pelbagai cabaran dihadapi JTS termasuk berlaku pertindihan kawasan, penduduk menuntut kawasan lebih daripada sepatutnya kerana didorong perasaan tamak dan cabaran lain.

Bagaimanapun, JTS mempunyai rekod tanah dibuka dahulu yang menunjukkan sama ada tanah berkenaan menjadi tanah NCR atau tanah kerajaan yang diterokai.

“Oleh itu, usaha kerajaan membantu melalui penyukatan tanah itu perlu mendapat kerjasama penuh daripada penduduk terlibat termasuk mengadakan sesi dialog bersama JTS,” jelasnya.

Katanya kerajaan amat serius dalam soal penyukatan ini dan pengukuran secara individu dilakukan selepas pengukuran secara perimeter namun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) harus memberi kerjasama merintis sempadan.

Antara kawasan terlibat melalui penyerahan warta itu ialah Kampung Kelati, Sungai Tubai, Medamit, Tubai Baharu dan Tanah Merah serta Ensungai Medamit, Limbang.

Turut diadakan penyerahan cek pampasan projek tapak Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang, projek Jalan Bawang Ubor dan Jalan Pangkalan Rejab, Buang Abai, Telahak dan Meritam.

Advertisement