Anda di sini

DAP ajak orang ramai sertai Perhimpunan BERSIH 4.0, 29-30 Ogos

Advertisement

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengajak orang ramai khususnya di sekitar bandar raya ini menyertai Perhimpunan BERSIH 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, penyertaan yang ramai dalam perhimpunan kali ini sangat penting kerana ia memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO khasnya.

“Ramai tahu Malaysia perlu berubah.

Hakikatnya untuk menyelamatkan Malaysia, kita perlukan perubahan.

Namun pada masa sama ramai tidak menyedari implikasinya.

“Tujuan (penganjuran) Perhimpunan Bersih 4.0 ialah untuk menyatukan rakyat atau menggerakkan semua yang tahu pentingnya menubuhkan kuasa kuat sebagai ‘panggilan kebangkitan’.

Oleh itu datanglah beramai-ramai untuk mendesak pembentukan semula dan mengubah negara,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching menambah, di Semenanjung Malaysia, BERSIH 1,2 dan 3 sebelum ini, telah berjaya menyebabkan tsunami politik dan membolehkan pembangkang menafikan sekurangkurangnya majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen.

Malah ujarnya ada beberapa buah negeri, pembangkang menjadi kerajaan.

“DAP bukan penganjur, tetapi DAP menyokong penuh BERSIH 4.0.

Saya mesti menjelaskan bahawa Bersih 4.0 tidak akan menjatuhkan Najib (Perdana Menteri) serta-merta tetapi secara keseluruhannya ia adalah tekanan hebat kepada BN dan UMNO.

“Lebih penting BERSIH 4.0 akan membawa ‘kesedaran dan kebangkitan’ kepada pihak yang tidak ambil peduli mengenai politik dan akan membantu memperkukuhkan demokrasi di Sarawak,” katanya.

Justeru orang ramai yang berminat menyertai Perhimpunan BERSIH 4.0, boleh bersama-sama pemimpin dan ahli parti itu berkumpul di hadapan Hotel Hilton Kuching sekitar jam 2 petang, 29 Ogos ini.

Kumpulan itu katanya akan berarak ke padang ragbi Song Keng Hai, destinasi terakhir perhimpunan itu.

“Mereka yang mahu menyertai kumpulan kami digalakkan memakai baju-T khas, yang boleh didapati dengan harga RM30 sehelai.

Kami hanya ada 1,000 helai.

“Sebarang tempahan boleh dibuat dengan menghubungi ibu pejabat DAP Sarawak di talian 082-335531 atau pegawai bertanggungjawab Bong Kuet Vui (016-8887229).

BERSIH 4.0 akan diaadakan serentak pada 29 dan 30 Ogos ini selama 32 jam bermula jam 2 petang (29 Ogos) di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Ia dianjurkan oleh kumpulan yang menggelar diri mereka Bersih.

Empat teras utama diperjuangkan BERSIH 4.0 ialah bersihkan pilihan raya, kerajaan bersih, hak membantah, kukuhkan demokrasi berparlimen dan selamatkan ekonomi Malaysia.

 

 

Advertisement