Anda di sini

Raja Bahrin pengerusi GHB Terengganu

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad diumum sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baharu (GHB) negeri ini dalam satu majlis pelancaran gerakan itu di Dataran Shahbandar di sini malam kelmarin.

Ini merungkai teka-teki yang Raja Kamarul Bahrin yang sebelum ini dilihat seolah-olah memilih untuk berdiam diri biarpun PAS Kuala Terengganu mengambil keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dan memberikan segala bantuan atau kemudahan dengan beliau.

Bagaimanapun, kelibat seorang lagi pemimpin PAS negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang juga disebut-sebut bakal bergandingan dengan Raja Kamarul Bahrin tidak kelihatan seperti mengiakan dakwaan yang dibuatnya sebelum ini iaitu tidak pernah terlibat dengan gerakan tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman tersebut oleh bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau memutuskan untuk menerima tawaran menerajui GHB di Terengganu kerana yakin dengan masa depan gerakan berkenaan.

“Saya rasa, saya lebih diperlukan dalam kalangan Harapan Baharu (GHB) kerana seperti yang kita bincang malam ini (malam kelmarin), ia (GHB) merupakan satu pendekatan yang lebih inklusif…lebih merangkumi semua pihak.

“Jadi saya rasa, itulah caranya untuk kita ke hadapan pada masa ini dan masa depan insya-Allah,” katanya.

Selain bekas Timbalan Presiden PAS yang juga Pengerusi GHB Mohamad Sabu, turut hadir pada majlis itu bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad; bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; bekas Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Ahmad Awang serta penyanyi terkenal dengan ‘Janji Manismu’, Aisyah.

Mengenai pembentukan jawatankuasa GHB di Terengganu, Raja Kamarul Bahrin tidak pula memperincikan perkara tersebut namun mengakui gerakan itu akan turut ditunjangi oleh beberapa bekas wakil rakyat PAS.

“Insya-Allah, kita akan umumkan pelancaran Harapan Baharu ini di sini lebih kurang beberapa minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu menegaskan pihaknya tidak bermusuh dengan PAS, namun membayangkan GHB bersedia menentang sesiapa sahaja yang ‘melawan’ mereka.

“Kami hanya akan bermusuh dengan lawan kami…siapa yang lawan (GHB),” katanya.

Beliau mengalu-alukan lebih ramai menyertai GHB termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. — Bernama

 

Advertisement