Anda di sini

Insan istimewa tabah mencari keredaan-Nya di Tanah Suci

Advertisement

MADINAH: Arjunaidi Mohamad, jemaah haji Malaysia yang kini berada di Madinah, nyata sangat istimewa kepada jemaah haji yang lain.

Insan istimewa yang kehilangan kaki kananya, hanya selepas enam bulan melangsungkan perkahwinan dengan Pariyem Pautoredjo, 40, kira-kira 23 tahun lepas, pastinya menginsafi setiap jemaah yang melihat pasangan berkenaan dalam mencari keredaan Allah.

“Saya berterima kasih kepada Allah meminjamkan kaki kanan saya selama 21 tahun, saya reda dan bersyukur kerana Allah beri peluang pula kepada diri ini berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji,” kata Arjunaidi, 44, yang mengusahakan bengkel membaiki kenderaan di Kuang, Selangor.

Kekurangan dirinya tidak pernah menjadi alasan untuk beliau berputus asa untuk mencapai hasratnya ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadat Rukun Islam kelima itu.

Bapa kepada lima anak berusia 12 hingga 23 tahun itu mendaftar dengan Tabung Haji pada 2003 dan terus menyimpan setiap bulan bagi mencapai hasratnya ke Tanah Suci.

“Tiga tahun lepas, simpanan saya dah mencukupi, Alhamdulillah tahun ini nama saya dan isteri tersenarai sebagai jemaah haji, kami tiba di sini pada Ahad lepas menerusi penerbangan KT4 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

“Saya bersyukur kerana Allah sudi terima saya sebagai tetamu-Nya. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji yang membantu menguruskan kerusi roda saya yang hadapi sedikit masalah (terkandas) di Lapangan Terbang Prince Mohammad Abdulaziz, Alhamdulillah hari ini (semalam) dah terima kerusi roda saya, mudah untuk saya bergerak, sebelum ini terpaksa menggunakan tongkat,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana dianugerahkan seorang isteri yang tabah dan penyayang: “Isteri saya membantu saya untuk bergerak ke masjid di sini.

Alhamdulillah, Allah bagi dia untuk saya, walaupun saya tidak sempurna, dia tetap setia,” katanya yang turut memiliki pasangan anak kembar berusia 17 tahun.

Arjunaidi terbabit kemalangan jalan raya pada 1991 dengan sebuah treler ketika menunggang motosikal untuk pulang dari tempat kerja, di Rawang, Selangor.

Sementara itu, seorang jemaah haji, Yunus Mohd Nor mengakui beliau amat kagum dengan semangat dan ketabahan Arjunaidi.

“Tiada sebab untuk kita yang sempurna sifat ini berputus asa. Ketabahan Arjunaidi, kesetiaan isterinya, perjalanan hidup mereka, iltizam mereka untuk ke Tanah Suci, amat mengagumkan.

“Ketabahan Arjunaidi untuk mengerjakan ibadat haji pastinya menginsafi diri kita semua,” katanya.

Arjunaidi dan isterinya yang berasal dari Melaka dan menginap di Hotel MovenPick di sini, dijadual bergerak ke Mekah pada 24 Ogos ini bersama-sama jemaah haji Malaysia yang lain secara berperingkat sehingga 7 Sept. — Bernama

 

Advertisement