Anda di sini

GPMS perlu main peranan dalam usaha lahir pemimpin berkualiti

Advertisement

MELAKA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) perlu memperkasa peranan mereka dalam usaha membantu melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti di negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata GPMS perlu berfikir di luar kotak dan kreatif dalam penggunaan medium sedia ada bagi membantu mengembangkan bakat serta potensi pelajar.

“Peranan GPMS amat penting bagi memberi pelajar peluang menggilap dan menunjukkan bakat mereka dalam bidang masing-masing sekali gus dapat melatih dan melahirkan pemimpin yang berbakat serta memberi aset kepada kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Saya yakin GPMS mampu membawa serta mengangkat mereka melalui pelbagai aktiviti serta program yang dijalankan bukan sahaja dalam pendidikan,” katanya kepada Bernama selepas Program Keselamatan dan Isu Semasa dan Mesyuarat Agung GPMS Melaka di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka di sini semalam.

Mas Ermieyati berkata pelajar perlu didampingi dan difahami bagi mengelakkan mereka dipengaruhi fahaman tidak benar dan berbaur fitnah mengenai kerajaan.

Beliau berkata usaha mendekati pelajar merupakan cara efektif dalam memberi penerangan mengenai isu semasa kepada mereka dan memberikan pemahaman teliti mengenai sesuatu isu.

“Pelajar perlu diberi pemahaman yang lebih jelas mengenai isu-isu semasa agar segala perspektif negatif dapat dibendung sekali gus menguatkan lagi rasa yakin dan cintakan negara di dalam hati mereka,

“Langkah ini mampu mengubah persepsi negatif generasi muda yang dilihat sebagai aset penting negara di samping melahirkan aset yang baik kepada kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya. — Bernama

 

Advertisement