Anda di sini

Polis Miri percaya dapat selesai empat kes rompak

Advertisement

MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan empat kes rompak dengan penangkapan seorang bekas banduan dan merampas pelbagai barangan milik mangsa daripada suspek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata selain empat kes terbaharu itu suspek berusia 36 tahun juga pernah ditangkap sebanyak 16 kali atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Suspek pernah ditangkap polis sebanyak 16 kali atas pelbagai kesalahan jenayah dan kini tiga daripada kesnya masih dalam perbicaraan,” katanya sambikl memberitahu suspek kini masih dalam jaminan mahkamah.

Sehubungan itu, dengan penangkapan suspek kali ini polis percaya dapat menyelesaikan empat kes rompakan dengan dua daripada mangsa terbaharu masing-masing seorang isteri pegawai polis dan seorang jururawat wanita.

Katanya, bertindak atas maklumat sekitar jam 12.25 tengah hari, pada 14 Ogos lalu sepasukan polis diketuai Inspektor Koay Kok Ping membuat serbuan ke sebuah rumah di Tudan Fasa 2 di sini.

Dalam serbuan itu, polis menahan suspek dan merampas pelbagai barangan termasuk satu unit telefon bimbit jenis Asus milik salah seorang mangsa dan sebiji topi keledar serta sebuah motosikal jenis SYM warna biru putih dipercayai digunakan dalam rompakan.

Turut dirampas dua helai jaket, sekeping kad jururawat milik mangsa dan sekeping kad ATM untuk dijadikan barang kes.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, semasa melakukan kes pertama bulan ini suspek baharu sahaja tiga hari dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Manakala suspek kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan tempoh reman akan tamat pada 22 Ogos ini.

 

Advertisement