Anda di sini

Sukan ragbi mampu didik pelajar lebih berdisplin

Advertisement

KUCHING: Sukan ragbi mampu mendidik pelajar supaya lebih berdisplin dan berkeyakinan tinggi untuk mendepani pelbagai cabaran di masa akan datang.

Sehubungan itu, Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip menggalakkan pelajar agar melibatkan diri secara serius dalam sukan lasak tersebut.

“Ragbi sangat baik dalam membentuk seorang pelajar berdisplin, berkeyakinan tinggi dan tidak mudah mengalah,” katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Ragbi Bawah 16 Tahun 7 Sebelah KRFC Festival Kuching di Padang Ragbi Song Kheng Hai di sini semalam.

“Selain itu, ia juga sangat baik untuk kesihatan para pelajar dan membantu mereka berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan,” ujar Talib yang juga Penaung Kelab Ragbi Kuching (KRFC).

Sementara itu, Pengerusi Pengelola Kaunselor Dom Silang menggesa kerajaan negeri menaik taraf Padang Ragbi Song Kheng Hai agar dapat menjadi venue bagi menganjur kejohanan lebih besar.

Beliau juga meminta sokongan dalam bentuk tajaan daripada badan swasta mahupun individu untuk merancak program pembangunan serta mempromosi ragbi dengan lebih meluas.

Sebanyak lapan pasukan mewakili sekolah sekitar Kuching dan Samarahan mengambil bahagian pada karnival sehari itu.

Pasukan tersebut SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Kolej Abdillah, Laila Taib, Tebedu, Wira Penrissen, MRSM, Agama Matang dan Sungai Maong.

Juara milik SHOAW selepas membenam Kolej Abdillah dengan 25-5 dalam aksi final.

MRSM pula menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Wira Penrissen dengan 21-0 untuk menggondol kategori ‘Plate’.

Tempat kelima dimenangi Tebedu dengan menundukkan Laila Taib 19-0 untuk memenangi kategori ‘Bowl’ manakala kategori ‘Spoon’ dimenangi Sungai Maong dengan menewaskan Agama Matang dengan 18-0 sekali gus menduduki tempat ketujuh.

Advertisement