Anda di sini

150 petinju memburu kejuaraan Tinju Golden Glove Kebangsaan

Advertisement

KUCHING: Seramai 150 petinju dari seluruh negara bakal berentap bagi memburu kejuaraan pada Kejohanan Tinju Golden Glove Kebangsaan 2015 yang diadakan dari 14 hingga 20 September depan di Komplek Kubah Ria, Kuching.

Kejohanan julung kali diadakan di Sarawak itu anjuran bersama Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo mengumumkan perkara tersebut semasa mesyuarat bersama Exco SABA, wakil PTM, MSNS, Polis, RELA, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Jabatan Penerangan Sarawak dan SEDC di bilik mesyuarat MSNS di sini Khamis lalu.

“SABA berasa sangat berbesar hati selepas diberi penghormatan oleh PTM untuk menganjurkan kejohanan berprestij ini buat pertama kalinya di sini. Kejohanan kebangsaan ini akan disertai seramai 150 petinju mewakili negeri dan kelab seluruh negara bersaing dalam pelbagai kategori,” katanya.

Lebih menarik apabila petinju dari ATM turut mengesahkan penyertaan pada temasya seminggu itu.

Menurut Rahman, skuad bayangan tinju SUKMA XVIII Sarawak juga berentap pada kejohanan tersebut.

“SBBA dengan kerjasama PTM berhasrat mencari petinju berpotensi yang boleh diketengahkan ke tahap lebih tinggi seperti Sukan SEA dan sebagainya.

“Selain itu, kita mahu memperkenal kejohanan tinju kompetitif kepada petinjupetinju di sini bagi menimbul minat masyarakat terhadap sukan ini terutamanya golongan remaja,” katanya.

Pada masa yang sama, kejohanan itu dapat menjadi medan memantapkan kemahiran bagi petinju Sarawak menghadapi temasya SUKMA XVIII 2016.

Hadir sama Setiausaha Kehormat PTM, Mohd Jani.

Advertisement