Anda di sini

Tingkat kesedaran keselamatan jalan raya

Advertisement

SIBU: Setiap tahun, kerajaan Malaysia menjalankan pelbagai usaha meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keselamatan jalan raya melalui program dan kempen pendidikan.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King berkata rakyat Malaysia harus bersyukur kerana banyak badan korporat bekerjasama dengan badan kerajaan mengadakan pelbagai program kesedaran di negara ini.

“Salah satu contoh terbaik Program Pendidikan Lalu Lintas Shell salah satu pendidikan jalan raya paling diketahui umum di negara ini.

“Program itu mewujudkan dan menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya sepanjang masa menerusi aktiviti berseronok sambil belajar,” katanya pada majlis penutupan Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell 2015 Peringkat Sibu di Taman Lalu Lintas Rejang di sini kelmarin.

Hadir sama Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan Shell Malaysia Jonathan Jolly, Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee dan wakil PPD Sibu, Lim Chun Len.

Tiong berharap Jabatan Pendidikan dapat mempertimbang menggabungkan program keselamatan jalan raya sebagai modul teori dan praktikal kurikulum di sekolah.

“Marilah kita bersatu menyebarkan kesedaran keselamatan jalan raya daripada pengetahuan dan kemahiran kita sejak kecil.

“Saya percaya, menerusi cara itu kita dapat menjadikan keselamatan jalan raya sebagai budaya di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Jonathan berkata Shell sentiasa mencari inovatif memacu manusia dan lebih selamat, penjimatan kos dan mengurangkan kesan terhadap persekitaran melalui pendekatan pemanduan bijak.

“Pemanduan bijak meliputi menyediakan pengguna dengan maklumat dan nasihat membantu mereka membuat pilihan bijak dan mengamalkan akhlak mulia termasuk program mempromosi pemanduan lebih efisien dan inisiatif meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

“Sebagai pembekal tenaga, Shell percaya mempunyai peranan memastikan keselamatan jalan raya melalui pendidikan kepada orang awam,” katanya.

 

Advertisement