Anda di sini

Robert hargai kenangan pahit, manis bersama Jabatan Imigresen Sarawak

Advertisement

Oleh Clare Cinderella //

C_PC0007329MENJAGA dan menguruskan semua pintu masuk ke negeri ini, dari setiap sudut – jalan air, udara dan darat, bukanlah tugas yang mudah, lebih-lebih lagi dengan jumlah kakitangan yang agak terhad sekali gus menjadikan ia satu pekerjaan yang amat mencabar bagi bekas Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, Datu Robert Lian.

Namun selepas 18 tahun berkhidmat bersama Jabatan Imigresen Negeri Sarawak, beliau yang bersara secara rasmi pada 20 Julai lalu, menganggap jabatan tersebut adalah sebuah ‘keluarga besar’ buat dirinya.

“Ini membuktikan bahawa saya salah sebelum saya menyertai jabatan itu, kini selepas 18 tahun bersama Imigresen (Sarawak) dengan sumber yang terhad pada tahun-tahun terawal perkhidmatan dan sehingga ke hari, Jabatan Imigresen Sarawak dan saya sendiri, telah melihat banyak perubahan lebih-lebih lagi perubahan yang amat baik buat negeri ini dan negara (amnya).

“Malah kita juga boleh nampak banyak perubahan dalam Imigresen dan juga pengurusan keluar masuk dalam negeri melalui pelabuhan laut, lapangan terbang dan pusat pemeriksaan yang disediakan,” jelas Robert kepada Utusan Borneo Miri.

Beliau ditemu bual ketika mengadakan lawatan kerja beliau yang terakhir, untuk bertemu dengan kakitangan jabatan itu di Miri dan Limbang, di Pos Imigresen Sungai Tujuh di Kuala Baram, Miri pada bulan lepas.

Robert yang berasal dari tanah tinggi Bario, mengakui berdepan dengan banyak detik sukar dan juga kenangan pahit, manis sepanjang kerjaya beliau sebagai pengarah jabatan tersebut.

“Ia merupakan bahagian yang sangat bermakna dalam hidup saya untuk berkhidmat kepada negara dalam menangani kebanjiran pendatang haram dan pelancong yang datang melawat Sarawak.

“Perlu saya ingatkan soal menjaga negeri dan melindunginya daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) ini bukan tugas Jabatan Imigresen semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kerjasama semua pihak, daripada agensi kerajaan kepada masyarakat terutama ketua-ketua masyarakat dan kaum serta juga pihak media,” katanya.

Operasi bersepadu yang dilaksanakan sejak awal tahun ini dalam usaha memerangi PATI mendapati majoriti pendatang warga Suluk dari Filipina ini, terdapat di Miri dan dari situ mereka pergi ke bandar-bandar lain seperti Bintulu, Sibu malah hingga ke Kuching.

Bagi membanteras kebanjiran ini secara berterusan, jabatan tersebut katanya telah tampil dengan motonya iaitu beroperasi setiap hari, yang bukan hanya menumpukan di sebuah bandar sahaja tetapi di setiap bandar dan kawasan di seluruh negeri ini.

“Hari ini kita mungkin mengadakan operasi di Miri, esok di Bintulu dan hari yang berikutnya di Kuching atau bandar-bandar lain. Sehubungan itu juga kita memohon kerjasama masyarakat dan pihak media.

“Anggaplah Jabatan Imigresen sebagai ‘rakan kerja’ anda, maka bersama-sama kita membanteras jenayah berkaitan imigresen khususnya PATI dan seterusnya menjaga negara kita,” tambahnya.

“Kerana jika kita tidak saling bekerjasama, maka pendatang haram atau PATI ini akan terus bermaharajalela dan berterusan bekerja dengan kita (di negeri Sarawak), lama-lama nanti mereka akan merebut tanah kita dan mendakwa tanah ini milik mereka pula, pada akhirnya, kita akan bersaing dengan mereka di tanah air kita sendiri,” tegasnya.

“Mungkin saya satu-satunya pengarah yang sentiasa mengingatkan para pegawai saya dan diri saya sendiri bahawa Sarawak adalah negeri yang setia dan aman di Malaysia.

“Saya juga amat berpegang kepada seni kata lagu kebangsaan Negeri Sarawak, ‘Ibu Pertiwiku’…, “Sarawak dalam Malaysia, aman makmur rahmat Tuhan Maha Esa…” dan saya mahu kakitangan dan pegawai saya berpegang padanya dan mengingatkan diri mereka betapa bertuahnya mereka berada di bumi Sarawak.”

“Oleh sebab itu juga selama 28 tahun, daripada 38 tahun saya bekerja dengan kerajaan, saya bertugas di Sarawak hingga ke tarikh saya bersara, kerana saya sayangkan Sarawak,” tambahnya lagi.

“Pengakhiran seperti ini (bersara) sesuatu yang tidak mudah dan ini adalah detik-detik sukar bagi saya kerana saya mempunyai ikatan yang cukup erat dengan kakitangan dari peringkat bawahan hingga kepada pegawai kanan jabatan kerana kami saling memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing untuk menguruskan ribuan orang yang keluar masuk, orang ramai yang datang ke negeri saya ini,” jelas beliau.

Justeru sepanjang perkhidmatannya itu, beliau berusaha melakukan yang terbaik untuk memperjuangkan kebajikan kakitangannya dengan turut memberi penekanan terhadap projek-projek membina pos sempadan yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan tempat kediaman untuk kakitangan Imigresen yang bertugas di sempadan, dari Merapok di utara negeri hingga ke selatan.

“Apatah lagi bila terpaksa bekerja dan beroperasi tanpa elaun untuk petrol, menyeberangi feri dan sebagainya. Bukan semuanya ada elaun.

“Justeru kebajikan dan kesejahteraan kakitangan adalah keutamaan nombor satu saya kerana mereka sedang berkhidmat di sempadan dan meninggalkan keluarga mereka dan hanya kembali ke rumah

mereka mungkin seminggu sekali atau lebih, justeru keselesaan mereka perlu diutamakan juga supaya mereka dapat bekerja dengan baik dan memberikan komitmen tinggi terhadap tugas mereka,” katanya.

“Bermula dari hari pertama saya berkhidmat dengan Jabatan Imigresen Negeri pada 1 April 1997, saya sedar ia bukan satu ‘April Fool’, sebaliknya ia adalah tugas yang amat memerlukan tanggungjawab dan komitmen yang tinggi serta kerjasama semua kakitangan dari peringkat bawahan hingga ke paling atas,” tambah beliau lagi.

Robert pernah berkhidmat dalam beberapa jabatan di peringkat Persekutuan dan juga pernah bertugas di Kedutaan Malaysia di Thailand sebelum diberikan tugas utama ini oleh kerajaan negeri untuk berkhidmat di Jabatan Imigresen bermula 1997 dan dari tarikh tersebut Robert mengakui beliau mulai menyayangi jabatan tersebut.

“Anda tahu dari mula saya berkhidmat dengan jabatan ini dengan hanya 397 kakitangan, sekarang telah bertambah kepada 1,300 dan mereka bekerja dengan saya sebagai warga dalam satu keluarga, menyebabkan saya tidak sedar anak-anak sudah besar dan sudahpun bekerja,” ujar beliau.

Sehubungan itu Robert berharap, selepas persaraannya pada 20 Julai lalu, di kala rakyat di negara ini termasuk kakitangannya sibuk meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri, beliau akan mempunyai banyak masa untuk dihabiskan di kampung kelahirannya di Bario dan menjenguk anak-anak yang sudahpun bekerja.

“Saya tidak buat sebarang perancangan untuk bekerja lagi namun saya berharap akan dapat terus menyumbang kepada negeri ini dalam pelbagai cara yang lain, meskipun sudah bersara,” luah beliau dalam nada sedih.

 Robert (enam kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian pegawai kanan Imigresen Miri dan Limbang dalam lawatan kerja terakhir beliau pada bulan lepas.

SATU PASUKAN, SATU KELUARGA: Robert (enam kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian pegawai kanan Imigresen Miri dan Limbang dalam lawatan kerja terakhir beliau pada bulan lepas.

Advertisement