Anda di sini

Hakisan tebing Sg Gum-Gum kritikal

Advertisement

Jejas keselamatan lebih 60 penghuni di sepuluh rumah berhmpiran

SANDAKAN: Hakisan tanah tebing Sungai Gum Gum kini semakin kritikal dan menjejaskan keselamatan lebih 60 penghuni di sepuluh buah rumah yang terletak di sepanjang kawasan berkenaan di Kampung Gum Gum di sini.

Masalah hakisan itu dilaporkan mula berlaku setelah hujan turun berterusan awal tahun ini tetapi kini keadaan semakin kritikal dan penduduk-penduduk terbabit khuatir terhadap keselamatan mereka.

Difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri telah pun membuat pemeriksaan untuk mengenal pasti lokasi yang terjejas beberapa bulan lepas.

Seorang penduduk kampung Aysah Oting, 63, memberitahu bahawa beliau bersama suami beliau yang uzur serta 10 ahli keluarga menetap tidak jauh dari tebing Sungai Gum Gum. Kini jalan konkrit di tepi rumah mereka telah runtuh akibat hakisan tanah tebing sungai.

“Kami sekeluarga tidur dapat tidak nyenyak kerana risau dengan masalah hakisan tebing sungai yang semakin teruk. Sebahagian jalan yang menghubungkan kampung ke jalan utama telah runtuh dan tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Ketua Kampung Gum Gum Sallee Udin berkata, para penduduk memohon agar kerajaan mengambil tindakan segera untuk membaiki kerosakan akibat hakisan tanah tebing Sungai Gum Gum ini.

Sallee berkata, beliau bimbang jika masalah ini tidak diatasi dalam tempoh yang terdekat, ia mungkin akan menjejaskan lebih banyak rumah lain yang terletak di tebing sungai.

Turut hadir di lokasi bersama beliau ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Gum Gum Kamal M Said, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Shaleh Yusof,  Ketua Cawangan Umno Pangkalan Gum Gum Aribin Lali dan ahli-ahli keluarga Aysah Oting.

Sementara  itu, ketika dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum Datuk Zakaria Mohd Edris memberitahu pihaknya telah mengajukan perkara berkenaan (hakisan) kepada JPS untuk tindakan lanjut sejak awal tahun ini.

Beliau meminta pihak JPS supaya mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja menangani masalah hakisan pada tebing sungai di Kampung Gum Gum.

Menurut Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, keadaan hakisan yang semakin kritikal membahayakan keselamatan penghuni-penghuni rumah yang terletak di tebing sungai.

“Memandangkan kerosakan serius telah berlaku berpunca dari hakisan tanah tebing sungai, saya berharap JPS akan segerakan melaksanakan projek berkenaan,” katanya.

Advertisement